am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pegangan yang dibawa pengikut Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) adalah terlalu taksub dan mendewakan pemimpin mereka sehingga memutarkan ajaran Islam yang sebenar.
Ini dapatan yang diperoleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap siasatan GISBH yang mendapati kaedah perniagaan mereka telah dimudahcara dengan pegangan Aurad Muhammadiah versi mereka.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, proses ini mirip seperti indoktrinasi yang dipercayai menjadi nilai kehidupan yang dipercayai dianuti sepenuh hati pengikut-pengikutnya.
Menurutnya, doktrin ini sangat berbahaya kepada keselamatan negara khususnya ajaran agama Islam di negara ini.
“Ini kerana kebajikan serta masa depan pengikut-pengikutnya yang bergantung sepenuhnya kepada pemimpin mereka sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, PDRM sudah memperoleh lanjutan reman bagi siasatan terhadap ahli GISBH berkait Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 selama empat hari bermula hari ini sehingga 29 September ini.
Beliau berkata, ia membabitkan 24 ahli termasuk individu yang memegang jawatan tertinggi GISBH.
“Dalam pada itu, berdasarkan kepada keterangan diperoleh, sebanyak 34 tahanan sudah selesai menjalani tempoh reman dan akan ditangkap semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
“Seramai 126 orang tahanan dibebaskan dengan jaminan setelah selesai tempoh reman,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata, hasil kerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapati GISBH tidak pernah membayar cukai yang berkaitan dan ini selari dengan siasatan PDRM yang dijalankan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967.
“Selain itu, PDRM turut mengesan hantaran yang dimuat baik oleh pemilik akaun Facebook Dzulkifli Salleh dengan pautan https://www.facebook.com/profile.php?id=61566503936325 di dalam page Meru dan Bukit Kapar di dalam ruangan komuniti dengan pautan https://www.facebook.com/groups/519014828796481 bagi mengumpul dana untuk membantu anak-anak ahli GISBH yang terkesan akibat isu ini.
“Masyarakat dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan usaha itu yang dipercayai cubaan untuk mengambil kesempatan atas isu ini.
“PDRM menyeru kepada masyarakat menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan bagi kes ini kepada pihak polis,” katanya.
Beliau juga menasihati kepada tahanan yang dibebaskan dengan jaminan agar tampil kepada pihak polis sekiranya memerlukan sokongan kebajikan.
“PDRM komited untuk membawa individu yang bertanggung jawab ke muka pengadilan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan keamanan dan ketenteraman masyarakat terus terpelihara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




