Langkah fiskal lebih berhemat

Langkah fiskal lebih berhemat

BELANJAWAN 2025 yang bakal dibentangkan pada 18 Oktober nanti dijangka membabitkan langkah-langkah fiskal yang berhemat, bantuan untuk golongan berpendapatan rendah dan tekad untuk melaksanakan usaha reformasi.

Selain itu, ia juga akan membabitkan penjelasan yang lebih terperinci berhubung inisiatif pengembangan asas cukai.

Menurut ramalan Jabatan Ekonomi RHB, sasaran defisit fiskal untuk 2025 mencecah 3.5 peratus iaitu menurun daripada sasaran 4.3 peratus pada 2024.

“Memasuki tahun terakhir Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), kami anggarkan perbelanjaan pembangunan bersih sekitar RM90 bilion bagi 2025,” kata Penganalisis RHB Investment, Alexander Chia dalam nota yang dikeluarkan semalam.

Menurutnya, mencecah hampir dua tahun selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kestabilan kerajaan perpaduan tampak berdiri utuh.

“Malah Malaysia dijangka menamatkan penggal persidangan parlimen tanpa sebarang masalah sebelum PRU seterusnya diadakan menjelang akhir tahun 2027.

“Walaupun perkembangan dari segi usaha reformasi dilihat berjalan, kami yakin Kerajaan mempunyai modal politik yang cukup untuk mempercepat lagi proses pelaksanaan berhubung subsidi dan inisiatif bagi meningkatkan asas cukai supaya dapat mengecilkan lagi defisit fiskal, membuka lebih ruang kesempatan untuk pelaburan prasarana, dan mewujudkan perancangan untuk membendung masalah hutang negara.

“Dalam soal ini, dua ikhtiar penting yang masih berjalan ialah pewajaran subsidi untuk petrol RON95 dan menghidupkan kembali Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dijalankan seiring dengan pelaksanaan e-invois,” katanya.

Menurutnya, untuk Belanjawan 2025 yang mendasari aspek kreativiti, daya saing, pendigitalan, penerokaan kecerdasan buatan (AI) dan reformasi perkhidmatan awam, mencapai Kerangka Ekonomi Madani akan menjadi tumpuan utama kali ini.

“Dalam usaha mendorong Persyarikatan Malaysia untuk menaiki rantai nilai, usul-usul yang dikemukakan seharusnya merangkumi langkah-langkah mempermudah kemasukan pelaburan langsung asing (FDI), memperkemas proses kerja supaya menghapus birokrasi berlebihan, peningkatan daya kerja, penggunaan teknologi automasi, dan pembangunan kemahiran pekerja termasuk membiayai pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) demi menambah dan mengasah kepakaran tenaga kerja,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top