Elak fitnah kepada masyarakat

Elak fitnah kepada masyarakat

PEJABAT Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerima persoalan berhubung kandungan media yang melakonkan watak suami isteri sedangkan pelakon suami adalah anak kepada wanita berkenaan.

Secara asasnya, Islam menuntut berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa sebaik sahaja memerintahkan kepada umat Islam untuk mentauhidkan Allah serta tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: “Dan bertauhidlah kamu kepada Allah dan jangan sesekali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa.” (Surah an-Nisa’ ayat 36)

Hal ini menunjukkan peri pentingnya berbakti kepada ibu bapa sebagai insan yang paling dekat bagi seorang hamba selepas hak dan tanggungjawab mentauhid serta beribadah kepada Allah SWT.

Meskipun dituntut untuk berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, terdapat riwayat yang menjelaskan kemuliaan dan kelebihan ibu berbanding bapa.

Hal ini berdasarkan sepotong hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW berkaitan manusia yang paling berhak untuk dia berbuat baik kepadanya, baginda SAW bersabda: “Ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu, kemudian kaum kerabat yang terdekat dengan kamu dan seterusnya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi menjelaskan hadis ini satu bentuk perintah untuk berbuat baik kepada ibu dan melebihkannya daripada bapa serta kaum kerabat yang lain.

Allah SWT telah memberikan kelebihan dan kemuliaan kepada ibu kerana mereka manusia yang sanggup bersusah payah untuk mengandungkan serta melahirkan anak.

Tidak cukup sekadar itu, mereka juga sanggup berpenat lelah untuk menyusukan, mendidik, memberi kasih sayang serta merawat anaknya.

Berdasarkan penerangan hadis berkenaan, seseorang ibu bertanggungjawab menjadi ‘sekolah’ utama dalam mendidik serta mentarbiah anaknya mengikut syariat Islam. Hal ini merujuk pada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Dan perempuan itu ialah pemimpin dalam rumah tangganya dan bertanggungjawab atas kepimpinannya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain itu, peranannya juga menjadi contoh teladan dengan menunjukkan sikap dan budi pekerti yang baik lantaran dilihat sebagai satu susuk tubuh yang wajib dihormati serta mesti diikuti terutama dalam proses pembentukan peribadi anak.

Hal ini kerana anak lebih cenderung mengikuti tingkah laku orang yang paling hampir dengan mereka. Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Tidaklah dilahirkan seorang anak itu melainkan dia lahir dalam keadaan fitrah. Maka kedua-dua ibu bapanya yang menjadikan dia beragama Yahudi atau menjadikannya beragama Nasrani atau menjadikannya beragama Majusi.” (Hadis Riwayat Muslim)

Selain itu, jika ibu bapa yang bertakwa kepada Allah SWT, nescaya Allah SWT akan mengurniakan kebaikan dan mempermudahkan segala urusan zuriat mereka dengan memberi keberkatan serta petunjuk dalam kehidupan zuriatnya itu.

Namun sebaliknya, jika ibu bapa tidak bertakwa kepada Allah SWT maka akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dilakukan oleh diri ibu bapa berkenaan dan keturunannya.

Berdasarkan kepada huraian di atas, tugas membesar dan mendidik anak ini bukan hanya terletak kepada ibu bahkan tanggungjawab bersama dengan bapa terutama pada zaman ini yang penuh ujian keruntuhan akhlak.

Amanah dan tanggungjawab ini pastinya akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Lakonan anak menyerupai suami dan ibu sebagai isteri

Pada dasarnya, sebarang bentuk hiburan diharuskan selagi tidak menyalahi atau melanggar batas hukum syarak. Justeru, setiap kandungan yang dipaparkan dalam media massa sama ada berupa lakonan, nyanyian, sketsa dan sebagainya yang mengandungi unsur ke arah sumbang mahram serta membangkitkan syahwat adalah haram. Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan).” (Surah al-Isra’ ayat 32)

Al-Qurtubi menafsirkan larangan ayat berkenaan bukan sahaja merujuk terhadap larangan perbuatan zina, tetapi melibatkan perbuatan yang menyumbang ke arah zina.

Justeru, meskipun kandungan yang dihasilkan dalam video tersebut hanyalah bertujuan sebagai gurauan dan hiburan semata-mata, ia bukan peluang untuk memaparkan kandungan bertentangan dengan syarak serta menyumbang ke arah perzinaan.

Hal ini kerana setiap tujuan yang baik tidak menghalalkan perkara yang diharamkan oleh syarak. Dalam satu kaedah fiqh disebutkan: ‘Matlamat itu tidak menghalalkan cara.’

Berkait dengan isu ini, perbuatan anak yang melakonkan watak sebagai suami serta diselitkan dengan babak berunsur lucah boleh menimbulkan fitnah kepada masyarakat.

Perbuatan zina satu daripada dosa besar yang mendapat kemurkaan Allah SWT, bahkan Dia juga melarang hamba-Nya daripada mendekati zina atau mukadimah yang boleh membawa kepada zina.

Seandainya perbuatan zina antara lelaki dan wanita ajnabiyyah itu diharamkan, zina antara mahram (sumbang mahram) adalah lebih keji daripada itu.

Perbuatan ini dianggap keji kerana ahli keluarga yang sepatutnya menjaga kehormatan sesama mereka telah melakukan penganiayaan. Ibn Hajar al-Haitami menyatakan bahawa: “Zina yang paling besar (dosanya) secara mutlak adalah zina dengan mahram.” (Al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair)

Kandungan media sosial: Medan sebar dakwah dan kebaikan

Dunia kini menyaksikan bagaimana kepesatan perkembangan teknologi maklumat membawa perubahan sosial dan budaya terhadap cara hidup serta cara masyarakat berfikir.

Sexual grooming merujuk kepada satu proses seorang kanak-kanak didekati bakal pemangsa dengan cubaan untuk mendapatkan kepercayaan kanak-kanak itu dan membolehkan pemangsa untuk melakukan perkara tidak bermoral padanya.

Keadaan ini boleh mendedahkan anak kepada kekeliruan dan tidak sedar terlibat dalam amang seksual jika tidak diberi pendedahan tentang sempadan serta penjagaan diri daripada perbuatan tidak bermoral ini.

Berkenaan isu lakonan video klip yang tular itu biarpun adegan ditonjolkan hanyalah lakonan semata-mata, namun perkara berkenaan telah menyentuh sensitiviti agama dan norma masyarakat dengan meletakkan kedudukan ibu serta layanan ibu terhadap anak pada bukan tempatnya.

Meskipun lakonan itu dilakonkan sesama mahram, adab dan batas terutama antara ibu serta anak perlu dijaga supaya dapat mengelak perbuatan sumbang mahram dan tidak menggalakkan perbuatan kurang sopan lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak yang juga menjadi sebahagian daripada penonton di media sosial.

Dalam hal ini, terdapat beberapa perkara yang perlu dititikberatkan oleh pencipta kandungan.

Antaranya, merujuk kepada Garis Panduan Hiburan dalam Islam Edisi Kedua tahun 2014 yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dalam persidangan kali ke-2 pada 12 dan 13 Mei 1981, kandungan yang dikongsi di media sosial hendaklah mengambil kira aspek berikut:

  • Paparan visual mengandungi nilai-nilai yang baik dan membina minda serta akhlak yang mulia.

  • Paparan visual adalah sopan, teratur dan diterima mengikut ‘tatabahasa visual’.

    Selain itu, kandungan yang dikongsi juga tidak mengandungi aspek berikut:

    1. Unsur penghinaan terhadap individu dan kepercayaan masyarakat tertentu, agama, bangsa dan negara.

    2. Paparan syot (foto atau gambar) yang tidak sopan dan syot yang melanggar nilai dan etika Islam.

    3. Gangguan kepada kesihatan emosi, mental dan pancaindera tertentu.

    4. Simbol visual yang secara tersurat atau tersirat yang bertentangan dengan akidah, syariah dan nilai etika Islam.

    Penulis Mufti Wilayah Persekutuan

    © New Straits Times Press (M) Bhd

  • Scroll to Top