Pelakon Fattah Amin yang kelihatan sugul sebaik keluar dari bilik Mahkamah sekali lagi menegaskan dia masih menyayangi isterinya, aktres Nur Fazura.
Menganggap masih ada sinar untuk menyelamatkan perkahwinan, Fattah atau nama lengkapnya Abdul Fattah Mohd Amin, 33, berkata, tiada lafaz talak yang berlaku hari ini.
“Saya memohon orang ramai terus mendoakan yang terbaik. Saya masih berpegang dengan kenyataan saya sebelum ini, masih menyayangi Fazura. Tidak terjadi perkara itu (melafazkan talak) hari ini.
“Masih sayang, selebihnya saya tak boleh nak komen.
“Kenapa sehari sebelum (fail cerai), itu tak boleh tanya saya. Sudah tentu saya sedih, saya dah beritahu sebelum ini saya sedih. Itulah perasaan saya.
“Saya ada perasaan. Saya bukannya robot. Saya ada perasaan. Jadi faham sendirilah.
“Terima kasih, doakan yang terbaik, Insya-Allah,” ulasnya.
Fattah berkata demikian usai sebutan kes permohonan cerai yang difailkan Fazura di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor, pada Rabu.
Sebelum ini, pada 14 September lalu, Fattah menegaskan bahawa dia terkejut dengan laporan yang tular mengatakan isterinya telah memfailkan cerai terhadapnya iaitu sehari sebelum hari ulang tahun kelahirannya.
Bagaimanapun, teraju utama filem Pendekar Awang dan Tok Gajah: Darah Indera Gajah itu menafikan sekeras-kerasnya bahawa dakwaan berlaku curang terhadap Fazura sama sekali tidak benar.
Malah, menegaskan dia tidak mempunyai sosok wanita lain dalam hati, melainkan isterinya yang tercinta.
Sedih dengan keadaan tersebut, Fattah bagaimanapun dengan rasa sayu meluahkan rasa cintanya terhadap Fazura tidak pernah berubah.
“Sejujurnya, saya hanya mengetahui mengenai permohonan perceraian yang difailkan terhadap saya melalui media sosial, terutamanya selepas ia ditularkan.
Terdahulu, Fazura, 41, mengekutkan ramaimpihak apabila dilaporkan memfailkan perceraian terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam.
Meskipun sebelum ini aktres jelita itu menafikan bahawa rumah tangganya tidak bergolak, namun netizen seakan sudah dapat menghidu apabila kedua-duanya dilihat sudah jarang memuat naik foto bahkan hadir ke mana-mana acara bersama.
Ketika spekulasi rumah tangga selebriti tersebut menjadi bahan bualan hangat, pengurusan Nur Fazura menafikan bahawa, aktres itu pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung butiran permohonan cerai terhadap suaminya, Fattah Amin.
Ini termasuklah, berkongsi apa yang didakwa tarikh prosiding seperti yang tular di media sosial.