mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Polis giat mengesan seorang lelaki yang melintasi landasan Monorel Bukit Bintang sehingga rakaman video kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, video berdurasi empat minit itu dikesan pada 11.35 malam kelmarin selepas tular di media sosial.
Menurutnya, laporan polis berkaitan kejadian ini sudah dibuat pihak polis bantuan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), 9.34 malam semalam.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan (pencerobohan).
“Usaha mengesan suspek dibuat polis bantuan Prasarana untuk menangkap penceroboh, bagaimanapun gagal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pencerobohan ini dilakukan oleh lelaki yang identitinya masih belum dikenal pasti.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999atau mana-mana balai polis yang berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




