am@hmetro.com.my
Kluang: Polis mengesahkan calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Mahkota tidak mempunyai rekod sabitan jenayah meskipun pernah ditahan berhubung kes pukul.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, laporan kes pukul yang dikaitkan dengan calon BN itu dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan kes diarahkan tiada tindakan lanjut (NFA).
Katanya, tiada mana-mana pihak yang dituduh dalam kes berkenaan, termasuk penama yang dinyatakan.
“Hari ini, polis mengesan pautan di laman media sosial berhubung dakwaan bahawa calon BN (PRK Dun Mahkota) dikatakan mempunyai rekod jenayah.
“Hasil semakan, Syed Hussien tidak mempunyai rekod sabitan jenayah di bawah kesalahan boleh daftar dalam konteks Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969 [Akta 7],” katanya dalam kenyataannya, malam ini.
Beliau menasihatkan parti politik supaya berkempen secara sihat dan tidak mengeksploitasi isu agama, raja dan kaum atau membuat kenyataan palsu terhadap individu lain.
Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin dalam kempen Perikatan Nasional (PN) meminta penjelasan Syed Hussien berhubung dakwaan pernah ditangkap polis berhubung kes itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




