Enam negara sertai SOJC 2024

Enam negara sertai SOJC 2024

sukan@hmetro.com.my

Johor Bahru: Enam negara mengesahkan penyertaan bagi Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun bagi merebut Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 bermula pada 19 Oktober ini di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.

Berbanding lapan negara pada edisi ke-11 tahun lalu, skuad The Young Tiger akan berdepan lima lagi pasukan iaitu naib juara tahun lalu, Australia, Britain, India, Jepun dan New Zealand.

Ketiadaan Jerman selaku juara pastinya membuka ruang kepada Australia untuk menebus kehampaan tahun lalu.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia IKHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pasukan remaja negara yang dibimbing ketua jurulatih, I Vikneswaran membuat persiapan rapi bagi menghadapi kejohanan berkenaan.

“Sebelum ini skuad remaja negara mengadakan siri perlawanan persahabatan di Australia bagi mendapat pendedahan terbaik dan kejohanan Piala Sultan Johor adalah fasa terakhir bagi persiapan menghadapi Piala Remaja Asia di Oman, November ini, yang menjadi kejohanan untuk layak ke Piala Dunia Remaja di India nanti.

“Pasukan sudah tentu akan bermain mati-matian di SOJC, tetapi apa yang paling penting mereka mempersiapkan diri dan mengambil pengalaman serta pelajaran untuk kelayakan Piala Dunia tahun depan,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Cek Penajaan Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor ke-12, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Datuk On Jabbar dan Presiden Hoki Johor (JHA), Datuk Majid Manjit Abdullah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top