Buka tirai di lokasi pertama

Buka tirai di lokasi pertama

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: McDonald’s Malaysia bersama Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) terus komited menyantuni anak yatim serta asnaf melalui inisiatif Bulan Komuniti yang dikhususkan pada Oktober setiap tahun.

Pada tahun ini, McDonald’s Malaysia memilih Rumah Titian Kaseh, Titiwangsa di sini, sebagai lokasi pertama membuka tirai program Bulan Komuniti yang akan diteruskan ke lokasi yang lain sepanjang Oktober ini.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, inisiatif program itu membawa keceriaan kepada anak yatim daripada 400 rumah kebajikan di seluruh negara.

Menurutnya, program dimulakan sejak 2017 itu dikhususkan untuk meraikan hari jadi kanak-kanak yang kurang bernasib baik dengan sambutan hari jadi istimewa dan bermakna bagi mencipta detik indah yang akan diingati dalam hidup mereka.

Katanya, program berkenaan akan membabitkan keseluruhan restoran McDonald’s Malaysia yang kini mempunyai lebih 370 cawangan di seluruh negara.

“Bulan Komuniti adalah program teras dalam inisiatif kemasyarakatan McDonald’s Malaysia kerana ia mencerminkan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat Malaysia yang memerlukan seperti kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

“Sokongan yang kita berikan bukan sekadar menyentuh jiwa mereka dengan membawa keceriaan tetapi juga menyokong kebajikan, kesejahteraan melalui sumbangan yang diberikan,” katanya pada program berkenaan di Rumah Titian Kaseh di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran, McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai, Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro (HM), Muhamad Safar Ahmad dan Pengarang Berita Kanan HM merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Abd Aziz.

Pada program itu seramai 90 kanak-kanak daripada Rumah Titian Kaseh, Rumah Raudhatul Al-Faeez dan Pusat Jagaan Kasih Murni diraikan dengan pelbagai aktiviti menarik dan dekorasi meriah sempena sambutan hari jadi bagi meraikan penghuni rumah kebajikan berkenaan.

Menurut Azmir, inisiatif itu antara usaha di bawah Program Komuniti McDonald’s bagi memayungi inisiatif kemasyarakatan syarikat kepada segenap lapisan masyarakat dengan setiap tahun, pihaknya akan menjalankan 19,000 aktiviti kemasyarakatan melalui restorannya.

“Sebagai syarikat milik tempatan, kami berdedikasi untuk memberi impak positif dengan menyentuh aspek kebajikan dan kesejahteraan komuniti.

“Hasrat kami adalah untuk menjadi jiran prihatin kepada rakyat Malaysia di sekeliling lokasi premis memandangkan restoran kami berhampiran kawasan kejiranan masyarakat,” katanya yang komited untuk meneruskan inisiatif itu bersama HM dalam memberi kecerian kepada penghuni rumah kebajikan

Sementara itu, Muhamad Safar berkata, HM berbesar hati dapat meneruskan kerjasama erat bersama McDonald’s Malaysia dalam menjayakan program yang menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat, termasuklah golongan asnaf, anak yatim dan mereka yang kurang bernasib baik.

Katanya, program kerjasama antara HM dan McDonald’s Malaysia itu sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada anak rumah kebajikan untuk mereka berkongsi rezeki dan mencurahkan bakti untuk masa depan penghuni berkenaan.

“HM sudah menganjurkan TKHM selama 17 tahun dan bersama McDonald’s Malaysia kita bekerjasama selama empat tahun mengadakan pelbagai program bersama.

“Inisiatif kerjasama seperti ini memberi keceriaan kepada kanak-kanak sekali gus membantu meringankan perbelanjaan rumah kebajikan mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top