PRK Mahkota: Pengundi tunai tanggungjawab esok

PRK Mahkota: Pengundi tunai tanggungjawab esok

Kluang: Pengundi berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Mahkota akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka esok, selepas tempoh 14 hari berkempen tamat tengah malam ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, 61,397 pengundi layak mengundi di 20 pusat membabitkan 109 saluran yang akan dibuka serentak pada jam 8 pagi hingga jam 6 petang.

Pengundi mempunyai pilihan sama ada calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah, 40, atau wakil Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar, 61, dengan kedua-duanya juga akan menunaikan kewajipan pada PRK itu.

Syed Hussien akan mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana manakala Mohamad Haizan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu.

Selasa alu, pengundian awal PRK Dun Mahkota diadakan membabitkan 4,437 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta polis, selain SPR turut mengeluarkan 607 undi pos pada 15 September.

Selesai proses pengundian petang esok, proses penjumlahan undi akan berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini.

Bagi melancarkan proses pengundian, 1,126 petugas dilantik untuk mengendalikan proses PRK itu, selain SPR juga menubuhkan satu pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) bagi memantau aktiviti kempen.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan cuaca di bandar Kluang pagi esok adalah baik, namun ribut petir dijangka melanda pada sebelah petang dengan suhu antara 23 hingga 33 darjah celcius.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top