Skuad boling terima durian runtuh RM457,700

Skuad boling terima durian runtuh RM457,700

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad tenpin boling negara menerima durian runtuh sebanyak RM457,700 dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selepas berjaya muncul juara keseluruhan pada Kejohanan Asia ke-27 (ATBC) di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, kejayaan itu amat membanggakan negara apabila setiap pemain menampilkan aksi yang cukup cemerlang dan berhak mendapatkan sesuatu atas usaha mereka itu.

Tambahnya, beliau berharap pemain negara akan mengekalkan prestasi mereka dan dapat berikan yang terbaik pada Sukan Sea Thailand tahun hadapan selepas boling kembali disenaraikan di kejohanan dwi tahunan itu.

“Majlis Sukan Negara seperti biasa ada menyediakan insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) kepada 12 pemain negara yang mewakili Malaysia. Jumlah yang mereka akan perolehi adalah RM457,700 dan setiap atlet akan menerima ganjaran yang berbeza mengikut kemenangan.

“Paling besar adalah Muhammad Rafiq Ismail dan Si Li Jane selepas masing-masing berjaya meraih empat serta tiga pingat emas termasuk membantu dalam acara berpasukan untuk menang pingat perak,” katanya.

Selain itu, Hannah juga menyifatkan kecemerlangan kem boling negara itu membuktikan mereka tidak pernah mengecewakan setiap usaha yang dilakukan oleh bekas Presiden Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Datuk Dr PS Nathan yang meninggal dunia pada usia 90 tahun, pada 22 September lalu.

Terdahulu, Malaysia muncul juara keseluruhan di ATBC selepas berjaya membawa pulang lapan pingat emas, lima perak, empat gangsa dan keseluruhan 17 pingat pada kejohanan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top