am@hmetro.com.my
Rantau Panjang: Kunjungan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke kediaman Nur Shafiqah Alia Muhammad Azhar, 20, ternyata memberi sinar harapan buat anak gadis itu untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Nur Shafiqah dikunjungi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Prof Dr Mohd Sazili Shahibi ke rumahnya di Kampung Lubok Stol, di sini, semalam, selepas kisahnya yang gusar untuk ke universiti mendapat perhatian ramai melalui perkongsian di media.
Katanya, dia bersyukur apabila dimaklumkan menjadi antara pelajar yang mendapat pengecualian yuran pengajian di UiTM, sekali gus mengurangkan kebimbangan dirinya yang ditimpa masalah kewangan.
“Insya-Allah peluang ini akan saya gunakan sebaiknya demi segulung ijazah seterusnya mencari pekerjaan yang terbaik demi mengubah nasib diri dan keluarga.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Yayasan Raja Shamri (YRS) yang sudi membantu, begitu juga dengan komen positif orang ramai melalui kisah hidup saya yang dikongsikan di media sosial dan akhbar.
“Bapa, Muhammad Azhar Mat Din, 47, dan ibu, Azrina Mohd Yasain, 41, juga menarik nafas lega apabila dimaklumkan bahawa yuran pengajian saya akan ditanggung sepenuhnya memandangkan mereka perlu membesarkan lima lagi adik-adik saya yang masih bersekolah,” katanya yang bakal melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Pembinaan di UiTM Shah Alam.
Koordinator unit komunikasi korporat UiTM Kelantan, Muhammad Syafiq Hassan, berkata pihaknya menyampaikan sumbangan serta surat tawaran Program Sulung 3.0 UiTM-KPT yang mana pelajar terpilih akan diberikan keistimewaan pengecualian bayaran yuran pengajian dan ditanggung oleh pihak universiti sepanjang tempoh pengajian.
Menurutnya, untuk fasa pertama, pelajar yang layak akan diberikan tawaran secara automatik berdasarkan merit kriteria yang ditetapkan dan pihaknya juga bersedia untuk membantu meringankan beban pelajar agar dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian seterusnya tamat dengan cemerlang.
Media sebelum ini melaporkan, pengalaman lalu hanya mampu belajar di peringkat matrikulasi selama sebulan akibat kekangan wang tidak mematahkan semangat Nur Shafiqah untuk menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Nur Shafiqah mengakui harapannya tinggi untuk melangkah ke menara gading, tetapi memikirkan kehidupan keluarga ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ memberi kegusaran kepadanya.
Bagaimana pun, Nur Shafiqah nekad untuk meneruskan perjuangan demi mengubah nasib keluarga.
© New Straits Times Press (M) Bhd




