Kilang kitar semula besi diserbu, 91 warga asing ditahan

Kilang kitar semula besi diserbu, 91 warga asing ditahan

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu kilang kitar semula besi di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan, Pahang dalam satu operasi bersepadu, kelmarin.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula jam 12 tengah hari itu membabitkan pasukan JIM Negeri Pahang dan Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Negeri Pahang.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan seramai 91 warganegara asing dari pelbagai negara.

“Semua yang ditahan terdiri daripada 43 lelaki warga China, Pakistan (21 lelaki), Bangladesh (19 lelaki), Indonesia (seorang lelaki), lima wanita warga China dan dua wanita warga Myanmar berusia lingkungan 21 hingga 60 tahun.

“Operasi ini turut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang iaitu buruh atau perkhidmatan paksa melibatkan kalangan golongan rentan dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

“Modus operandi kilang ini adalah memproses sisa dan bahan besi yang melibatkan peleraian dan pembakaran untuk dijadikan besi yang baharu dan bahan pembinaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, terdapat pekerja warga asing cuba melarikan diri serta bersembunyi dalam kawasan kilang yang sangat luas dan dipenuhi timbunan besi.

Katanya, situasi berkenaan menyukarkan anggota serbuan untuk melakukan pemeriksaan, namun pihak serbuan berjaya melakukan tangkapan.

“Hampir semua pekerja warga asing itu tidak diberikan kelengkapan keselamatan kerja dan ia boleh mengundang risiko kecederaan. Mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Mereka kini ditempatkan di Depot Imigresen Kemayan, Pahang untuk siasatan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top