Selepas Subuh esok Syed Hussien perlu kerja – MB Johor

Selepas Subuh esok Syed Hussien perlu kerja – MB Johor

am@hmetro.com.my

Kluang: “Esok pagi selepas Subuh (Syed Hussien Syed Abdullah) kena terus buat kerja untuk membela rakyat di sini,” kata Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Mahkota Barisan Nasional (BN), Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menteri Besar Johor itu berkata demikian selepas keputusan tidak rasmi diperoleh menunjukkan Syed Hussien memenangi pilihan raya itu dengan majoriti 20,609 undi.

Beliau juga berterima kasih kepada pengundi Dun Mahkota yang memberi mandat kepada Syed Hussien untuk meneruskan legasi ditinggalkan penyandang terdahulu, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

Katanya, bersyukur kerana jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) bersatu dan bergabung tenaga untuk berkempen secara sihat, malah beliau melihat permuafakatan sebagai elemen penting kejayaan itu.

“Kemenangan ini adalah berkat usaha semua yang hadir pada hari ini yang telah berusaha siang dan malam, sebulan dua ini untuk menangkan calon kita.

“Saya juga baru bercakap dengan Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beliau menyampaikan salam dan ucapkan terima kasih kepada jentera BN dan PH yang bantu memenangkan calon serta rakyat secara keseluruhan.

“Saya lihat kempen kali ini sangat luar biasa dan dalam sejarah saya tak pernah tengok di mana semua jentera sayap wanita, pemuda, puteri cawangan (dan) bahagian seluruh negara bersatu berkempen.

“Tahniah kepada jentera berkempen secara sihat,” katanya di Command Centre BN di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, masih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan termasuk melaksanakan visi dan aspirasi untuk membangunkan Johor termasuk di Parlimen Kluang dan Dun Mahkota

“Selepas ini jangan toleh ke belakang lagi terus berkerja untuk rakyat, negeri dan negara kita cintai ini,” katanya.

Berita berkaitan

Syed Hussien rasmi menang PRK Dun Mahkota

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top