am@hmetro.com.my
Padang Terap: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita yang dihanyutkan arus deras ketika banjir di Kampung Tanjung Kanan ditangguhkan pada jam 7 petang hari ini.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, pencarian Salmah Mat Zain, 46, setakat ini tidak menunjukkan sebarang petunjuk walaupun operasi SAR tertumpu di kawasan mangsa dilaporkan dihanyutkan arus deras.
Beliau berkata, operasi pencarian akan disambung pagi esok dan di tempat sama.
“Pasukan penyelamat hanya menemui sepasang selipar wanita pada jam 3 petang dan sebelah selipar lelaki tidak jauh dari lokasi pencarian.
“Kita akan buat pemantauan di sini malam ini. Kita bimbang mangsa hanyut ke sebelah kiri jalan kerana kawasan jasad anak lelakinya ditemui di celah pelepah kelapa sawit.
“Kemungkinan jasad ibunya juga ada di situ,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian hari ini.
Mulkiaman berkata, jika keadaan cuaca makin baik dan tidak hujan, air akan terus surut cuma keadaan cuaca mendung semula ketika jam 7 petang ini.
Bagaimanapun katanya, pasukan bomba akan berada di lokasi kejadian untuk memantau keadaan dan melakukan pencarian di sekitar kawasan itu.
Sementara itu, Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, pihaknya akan menggunakan khidmat Anjing Pengesan (K-9) JBPM sekiranya mangsa belum ditemui.
© New Straits Times Press (M) Bhd




