WASHINGTON: Bumi akan memiliki dua bulan bermula Ahad ini, apabila akan muncul ‘bulan mini’ yang akan mengelilingi orbit planet ini.
Bulan mini itu sebenarnya adalah batuan angkasa sebesar saiz bas sekolah berukuran 10 meter (33 kaki), yang akan terperangkap buat sementara waktu dalam graviti planet bumi dan mengorbit dunia, selama kira-kira dua bulan.
Ia dilabelkan sebagai PT5 2024 itu mula dikesan pada Ogos 2024 oleh ahli astronomi di Universiti Complutense Madrid menggunakan teleskop berkuasa yang terletak di Sutherland, Afrika Selatan, lapor AP.
“Bulan mini yang berusia pendek ini mungkin lebih biasa daripada yang kita sedar,” kata ahli astronomi di Massachusetts Institute of Technology, Richard Binzel.
Menurutnya, asteroid berkenaan kali terakhir diketahui dikesan adalah pada 2020.
“Ini berlaku dengan beberapa kekerapan, tetapi kami jarang melihatnya kerana ia sangat kecil dan sangat sukar untuk dikesan.
“Hanya baru-baru ini keupayaan tinjauan kami mencapai tahap mengesannya secara rutin,” jelasnya.
Penemuan oleh pakar astronomi, Carlos de la Fuente Marcos dan Raúl de la Fuente Marcos telah diterbitkan oleh Persatuan Astronomi Amerika (AAS).
“(PT5 2024) Yang ini tidak akan kelihatan dengan mata kasar atau melalui teleskop amatur, tetapi ia ‘boleh diperhatikan dengan teleskop gred penyelidikan yang agak besar’, kata Carlos de la Fuente Marcos dalam e-mel kepada AP.
Sementara Binzel, yang tidak terlibat dalam penyelidikan itu pula berkata, tidak jelas sama ada batu angkasa itu berasal sebagai asteroid atau sebagai ‘ketulan bulan yang diletupkan’.
“Bulan mini tersebut akan mengelilingi dunia selama hampir 57 hari tetapi tidak akan melengkapkan orbit penuh.
“Pada 25 November 2024, ia akan berpisah dengan Bumi dan meneruskan trajektori solonya melalui kosmos. Ia dijangka berlalu sekali lagi pada tahun 2055,” katanya. -Agensi/– HARAKAHDAILY 28/9/2024









