am@hmetro.com.my
Sabak Bernam: Suspek kes pembunuhan pengawal keselamatan yang mayatnya ditemukan dalam but kereta di tepi Jalan Pasir, Taman Pertama, di sini, 16 September lalu akan didakwa, esok.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Robin Guha Thakurta berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an itu akan dituduh di Mahkamah Kuala Selangor pada 8.30 pagi.
“Sebelum ini, suspek direman kali pertama sehingga 24 September lalu dan reman dilanjutkan, serta berakhir 1 Oktober,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pendakwaan dijangka dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Robin berkata, siasatan polis setakat ini mendapati motif pembunuhan mangsa disebabkan masalah peribadi dan hutang.
Katanya, suspek yang ditahan sehari selepas penemuan mayat juga adalah rakan sekerja mangsa.
“Hasil bedah siasat oleh pihak Patologi Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati terdapat beberapa kesan tikaman, kelar serta cedera akibat objek tumpul pada tubuh mangsa,” katanya.
Katanya, pelbagai jenis barangan termasuk tiga pisau dan pakaian digunakan suspek semasa kejadian dirampas.
Polis sebelum ini menemui kereta Proton Saga BLM berwarna hitam yang diletakkan di tepi jalan, dengan pemeriksaan lanjut menemukan mayat lelaki berusia 43 tahun.
Mangsa juga dilapor bekerja di daerah ini dan siasatan lanjut mengesahkan kematiannya terdapat unsur jenayah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




