suliati@hmetro.com.my
Sembilan pelajar antarabangsa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari pelbagai negara menyahut cabaran mendaki Gunung Kinabalu menerusi program Pengantarabangsaan Melalui Warisan 2024: Perjalanan Antarabangsa Ke Puncak.
Mereka adalah pelajar dari Jepun, Timor Leste, Bangladesh, Yaman, Pakistan, China, Brunei, Filipina dan Indonesia.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, program anjuran Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG) itu adalah sempena sambutan ulang tahun UMS ke-30.
Program itu juga adalah inisiatif dalam mempromosikan UMS khususnya dan Sabah kepada pelajar antarabangsa.
“Pendakian Gunung Kinabalu oleh pelajar antarabangsa ini adalah bagi memperkenalkan UMS dan Sabah di mata dunia, bahawa negeri ini memiliki banyak khazanah yang perlu diterokai bukan hanya dimanfaatkan untuk pengajaran dan pembelajaran, tetapi perlu dialami dan dipelopori.
“Kami memilih sembilan pelajar antarabangsa mengikuti program ini kerana UMS adalah universiti kesembilan daripada 20 universiti awam di Malaysia.
“Misi pendakian ini juga menunjukkan bahawa kepimpinan UMS prihatin terhadap kebajikan dan keperluan dalam memberi pendedahan kepada pelajar antarabangsa supaya mereka juga diberi peluang dan kesempatan untuk menghayati keindahan alam semula jadi di Sabah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah PPPG, Profesor Madya Dr Wardatul Akmam Din berkata, peserta bersemangat dan membuat persiapan rapi dalam menjayakan ekspedisi itu.
“Mereka menawarkan diri menyertainya tanpa paksaan kerana mendaki Gunung Kinabalu bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan ketahanan fizikal serta mental.
“Peserta dipilih mengikut aspek fizikal dan mental. Mereka juga sudah berlatih beberapa minggu sebagai persediaan untuk ekspedisi ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




