Hidalgo juara Terbuka Sepanyol

Hidalgo juara Terbuka Sepanyol

Paris: Pemain Sepanyol Angel Hidalgo muncul pemenang selepas menewaskan rakan senegara Jon Rahm dalam aksi play-off untuk menjuarai Terbuka Sepanyol di Madrid, awal pagi tadi.

Hidalgo memerlukan tambahan dua lubang sebelum mengatasi cabaran juara tiga kali Rahm dan memenangi perlawanan apabila membenam putt dari jarak dua kaki selepas kedua-dua pemain melakukan birdie.

“Dua atau tiga tahun lalu, saya berada di tee pertama menyokong Jon tanpa beraksi. Tanpa beraksi, saya cuma datang ke Madrid untuk menyaksikan perlawanan,” kata Hidalgo.

“Berada di sini dan menang kejohanan seperti impian menjadi kenyataan. Ia menakjubkan.”

Kedua-dua pemain memulakan final membabitkan semua pemain Sepanyol termasuk David Puig tetapi Hidalgo yang mendahului dengan dua pukulan semalam cemas seketika selepas pesaingnya mencipta birdie di lubang pertama manakala dia melakukan bogey.

Pemain berusia 26 tahun itu kembali mendapatkan momentum dan menamatkan pusingan akhir dengan catatan 70. Ketika Rahm melakukan birdie di lubang ke-17 dan 18, catatan 68 terakhirnya bermakna kedua-dua pemain Sepanyol itu terikat 14-under sekali gus memaksa play-off.

Selepas kedua-dua melakukan birdie pada lubang tambahan pertama, Rahm melakukan kesilapan manakala Hidalgo kekal tenang menyempurnakan tolakan dari jarak dekat untuk kemenangan pertamanya di kejohanan terbuka tempatan.

“Semoga (Hidalgo) nikmati kemenangan ini,” kata Rahm. “Menang di tempat sendiri, juara Terbuka Sepanyol bersama penyokong sendiri. Anda boleh rasai kenikmatannya dan betapa ia penting kepadanya.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top