am@hmetro.com.my
Kuala Selangor: Pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Kuala Selangor di sini, hari ini atas tuduhan membunuh rakan sekerjanya 15 September lalu.
Wan Shahrizan Wan Kadir, 26, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.
Mengikut pertuduhan, Wan Shahrizan didakwa membunuh Raja Azman Raja Abdul Tahir, 43, antara jam 2.30 hingga 4 pagi, 15 September lalu di pondok pengawal keselamatan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sabak Bernam, Sabak Bernam.
Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup dan tidak kurang 13 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohd Azali Ibrahim.
Siti Hajar kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 4 Disember ini.
Terdahulu, media melaporkan mayat Raja Azman ditemukan dalam but sebuah kereta di tepi Jalan Pasir, Taman Pertama, Sabak Bernam, 16 September lalu.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Robin Guha Thakurta dilaporkan berkata, motif pembunuhan mangsa adalah disebabkan masalah peribadi dan hutang.
Hasil bedah siasat dan pemeriksaan oleh pihak Patologi Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati terdapat beberapa kesan tikaman, kelar serta cedera akibat objek tumpul atau keras pada beberapa bahagian tubuh mangsa.
Susulan itu juga polis merampas pelbagai jenis barangan termasuk tiga pisau dan pakaian digunakan suspek ketika kejadian.
tamat
© New Straits Times Press (M) Bhd




