am@hmetro.com.my
Alor Setar: Banjir yang melanda kawasan jelapang padi seluas kira-kira 6,000 hektar di Kedah dan Perlis dianggarkan menyebabkan kerugian mencecah RM40 juta kepada pesawah.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bagi mengurangkan beban kerugian ditanggung pesawah, kerajaan menyediakan bantuan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP).
Beliau berkata, kadar bantuan yang akan diberikan bergantung kepada usia padi dengan anggaran nilai antara RM876 hingga RM1,800 per hektar dan setiap pesawah layak memohon keluasan maksimum tiga hektar saja.
“Banjir tahun ini di luar kebiasaan. Pesawah selalunya menjangkakan banjir berlaku pada Oktober, namun kali ini berlaku pertengahan September menyebabkan padi yang sedang masak habis tenggelam.
“Saya sendiri lihat kerosakan itu berlaku dan ada sesetengah sawah yang ‘total lost’ dengan pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) anggarkan kerugian setakat ini adalah RM40 juta membabitkan kira-kira 1,500 pesawah.
“Kita bersimpati dengan nasib pesawah yang ditimpa bencana ini, bagi meringankan beban pesawah yang mengalami kerugian akibat hilang hasil padi, kita menyalurkan bantuan TBTP yang akan dibayar secepat mungkin,” katanya pada sidang media di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tajar di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kemungkinan negara mengalami kekurangan bekalan beras akibat banjir yang melanda, Mohamad berkata, perancangan jangka panjang perlu dibuat iaitu dengan membuka jelapang padi baharu di Sabah dan Sarawak.
Katanya, bagi tempoh jangka pendek, kerajaan akan berusaha meningkatkan infrastruktur tanaman padi di luar kawasan tanaman rancangan bagi membolehkan pengeluaran beras dipertingkat pesawah terbabit secepat mungkin.
“Apabila sawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) mengalami banjir besar dua kali pada 2021 dan 2022, berlaku kekurangan padi kira-kira empat peratus dan kali ini berlaku pula kekurangan padi di kawasan Mada yang akan menyebabkan kekurangan bekalan beras.
“Jadi kita kena atasi masalah ini dalam tempoh jangka panjang dengan menyediakan jelapang padi kedua iaitu di Sabah dan Sarawak. Kelmarin saya di Miri dan Premier Sarawak mengumumkan peruntukan awal RM500 juta bagi kawasan tanaman di negeri itu.
“Kita juga akan memohon RM400 juta kepada kerajaan dalam Bajet 2025 agar infrastruktur kawasan luar jelapang padi dapat dinaiktaraf, namun ia bergantung kepada Kementerian Kewangan meluluskan atau tidak,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan usaha menaik taraf sistem saliran kawasan tanaman padi tidak boleh dilakukan kementeriannya saja, sebaliknya ia perlu dilakukan secara bersama membabitkan agensi berkaitan demi memastikan keterjaminan makanan negara.
Dalam banjir yang melanda Kedah dan Perlis minggu lalu, dianggarkan lebih 10,000 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di seluruh negeri menjadikannya antara bencana paling teruk berlaku dalam tempoh 14 tahun ini.
Selain kerosakan kepada padi, bencana terbabit turut menyebabkan kemusnahan kepada tanaman lain seperti sayuran dan haiwan ternakan yang dihanyutkan aliran deras.
© New Straits Times Press (M) Bhd



