am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Bapa mangsa rentung terkilan kerana tidak sempat memberi duit belanja kepada kedua-dua anaknya yang terkorban dalam kebakaran di Jalan Lembaga Padi, Likas, hari ini.
Wahid Maulan, 44, berkata dia berjanji memberi wang belanja lebih selepas pulang dari kerja di Kota Belud ketika kali terakhir bercakap dengan dua anaknya iaitu Siti Faridah Wahid, 3, dan kakaknya Almidah, 14, semalam.
Menurutnya, ketika itu dia sempat mencium kedua-dua anaknya sebelum keluar bekerja di Kota Belud.
“Saya sempat meminta mereka supaya mendoakan kerja saya lancar agar dapat bagi lebih duit belanja.
“Namun, saya tidak menyangka kedua-dua mereka meninggalkan kami sekeluarga hari ini,” katanya.
Katanya, ketika kejadian, dia berada di Kota Belud sebelum bergegas pulang apabila mendapat berita mengenai nasib menimpa anaknya.
“Saya segera ke lokasi dan mendapati kedua-dua anak saya terkorban dalam kebakaran itu.
“Walaupun ujian ini amat berat, tapi sudah ditakdirkan bahawa Allah SWT mengambil arwah pada usia muda, saya reda,” katanya.
Dalam kejadian pada12.30 tengah hari tadi, lima mangsa terdiri daripada bayi, kanak-kanak dan remaja ditemukan rentung dalam bilik mandi salah sebuah daripada empat rumah yang terbakar.
Selain Siti Faridah serta Almidah, mangsa yang terkorban dikenali sebagai Raina Adrian, 1, Raida, 3, dan Raisa, 4, yang juga adik-beradik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




