Penyanyi popular Indonesia, Afgan mengaku dia berasa gementar kerana bakal tampil dengan konsert berskala besar pada 28 Disember depan.
Kata Afgan atau nama penuhnya, Afgansyah Reza, 35, sepanjang berkecimpung selama 17 tahun dalam industri, dia belum pernah membuat persembahan di hadapan khalayak apatah lagi dengan lokasi yang mempunyai kapasiti yang ramai.
“Saya kalau di tempat yang besar saya akan berasa takut, sebab sebagai seorang manusia sudah tentu saya juga ada rasa tidak yakin bila membuat persembahan.
“Namun saya yakin dengan adanya team dan pihak penganjur yang selalu memberi sokongan saya akan cuba buat yang terbaik untuk peminat
“Saya tak pernah buat konsert dengan kehadiran penontonnya sampai 7,000 orang.
“Kalau di Indonesia yang paling besar saya pernah buat sekitar 5,000 orang jadi ini yang paling besar sepanjang karier saya,” katanya.

Afgan berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Istimewa Afgan Live In Penang 2024 yang diadakan di hotel Imperial Lexis, Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, pelantun lagu Escape ini berkata, dia menyatakan tidak mempunyai sebarang ekspektasi untuk konsertnya yang akan datang termasuklah berkongsi siapakah antara artis yang akan menjadi tetamunya nanti.
Dalam pada itu, Afgan juga tidak menolak sekiranya konsert Afgan Live In Penang 2024 dianjak ke hari kedua jika mendapat sambutan yang memberangsangkan.
“Kalau misalnya tiketnya habis cepat, saya terbuka untuk mengadakan hari kedua, saya suka membuat persembahan jadi tiada masalah untuk saya,” ujarnya.

Sekadar info, peminat Afgan boleh mendapatkan tiket menerusi Ticket2u.com.my bermula 1 Oktober 2024 dengan harga bermula RM138 sehingga RM388.



