am@hmetro.com.my
Putrajaya: Sebanyak 32 syarikat sudah diambil tindakan dan kuota syarikat ditarik di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) sejak tahun 2020 hingga Jun 2024.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam berkata, jumlah itu diyakini akan terus meningkat dari semasa ke semasa berdasarkan kepada hasil siasatan dijalankan.
Menurutnya, KPDN menjalankan pengauditan rantaian pengedaran minyak masak bersubsidi secara intensif bermula daripada pengilang, pembungkus, pemborong dan peruncit.
“Melalui kaedah ini penyelewengan boleh dikesan di peringkat awal melalui pengisytiharan stok untuk mengesan aliran pergerakan minyak masak melalui rantaian pengedaran dari pengilang hingga peruncit.
“Turut dilaksanakan adalah penggantungan atau pembatalan kuota COSS dan lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA) dalam tempoh siasatan sebagai langkah tegas terhadap pihak berkenaan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961),” katanya.
Menurutnya, KPDN mengingatkan semua pihak yang terbabit dalam rantaian pembekalan dan pengedaran minyak masak bersubsidi paket 1kg untuk lebih bertanggungjawab dalam memastikan subsidi ini benar-benar sampai kepada golongan sasar.
“Selain pemborong dan peruncit, pihak syarikat pembungkus (repackers) juga tidak boleh lepas tangan dan perlu bertanggungjawab dalam memastikan tidak berlakunya ketirisan.
“Syarikat pembungkus (repackers) turut disiasat sekiranya sesuatu jenama yang disyaki terbabit dalam kegiatan penyelewengan dan penyeludupan atau minyak masak dirampas dalam operasi penguatkuasaan.
“Individu yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122]. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Menurutnya, syarikat pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.
“Selain itu, syarikat berkenaan akan disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak masak.
“Kerjasama umum amat dialu-alukan untuk mengemukakan sebarang maklumat yang lengkap dan tepat berhubung perkara berkaitan melalui saluran aduan melalui WhatsApp 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN di http://eaduan.kpdn.gov.my atau pusat panggilan 1-800-886-800; dan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




