Afgan tetap gementar 

Afgan tetap gementar 

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi popular Indonesia, Afgan mengakui masih berasa gementar untuk membuat persembahan dalam konsert berskala besar membabitkan penonton yang ramai.

 

 

Afgan atau nama sebenarnya, Afgansyah Reza, 35, berkata, dia belum pernah menjayakan persembahan atau konsert yang membabitkan seramai 7,000 penonton sepanjang 17 tahun berkecimpung dalam bidang muzik.

 

 

“Kalau di Indonesia, konsert atau persembahan yang saya pernah jayakan sekitar 5,000 orang saja. 

 

 

“Justeru, konsert yang akan berlangsung di Setia Spice Arena, Pulau Pinang pada 28 Disember ini jam 8 malam akan menjadi konsert solo terbesar sepanjang karier nyanyiannya. 

 

 

“Konsert ini juga akan menceritakan perjalanan karier seni saya dengan menyampaikan 25 lagu hits,”katanya pada sidang media Konsert Afgan Live In Penang 2024 anjuran Strategy X Entertainment, di sini.

 

 

Ditanya kenapa dia berasa gementar walaupun sudah banyak kali membuat konsert dan persembahan di sini, Afgan berkata, sebagai manusia biasa, perasaan takut dan gementar tetap ada jika ia membabitkan pentas yang besar.

 

 

“Kalau buat persembahan di tempat yang besar seperti stadium, pastinya saya juga akan berasa takut dan tidak yakin untuk buat persembahan.

 

 

“Namun, saya yakin dengan adanya pasukan dan penganjur yang sentiasa berikan sokongan, saya akan cuba buat yang terbaik untuk peminat di sini nanti,” 

 

 

Afgan berkata, buat masa sekarang, dia tidak mempunyai sebarang jangkaan untuk konsertnya di Pulau Pinang itu.

 

 

“Jika ia mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat di sini, saya juga tidak menolak untuk mengadakan hari kedua.

 

 

“Contohnya, kalau jualan tiket konsert ini habis cepat, saya terbuka untuk mengadakan hari kedua keesokannya kerana saya memang suka buat persembahan dan tiada masalah untuk teruskan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top