am@hmetro.com.my
Kuala Kangsar: Seorang parah, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lapan kenderaan di Kilometer (KM) 257 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara, berhampiran Terowong Menora dekat sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kemalangan itu membabitkan lima kereta dan tiga motosikal.
Menurutnya, panggilan berhubung kejadian diterima jam 10.28 malam tadi dan susulan itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dibantu oleh BBP Meru Raya digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, kemalangan membabitkan lapan mangsa iaitu seorang parah, dua cedera ringan, manakala lima yang lain tidak cedera.
Katanya, mangsa parah adalah seorang wanita yang memandu Perodua Myvi dengan kenderaan itu didapati dalam keadaan terbalik, manakala dua mangsa yang cedera masing-masing adalah penunggang motosikal.
Menurutnya, bomba membantu pihak pasukan perubatan Kementerian Kesihatan untuk mengambil mangsa yang parah untuk dihantar ke hospital menggunakan ambulans, manakala dua mangsa yang cedera ringan diberikan rawatan awal dan dihantar ke hospital.
“Operasi tamat 11.49 malam tadi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




