Bagai pesta cinta

Bagai pesta cinta

syafil.syazwan@hmetro.com.my

SUASANA di Mega Star Arena, Kuala Lumpur berubah menjadi pesta cinta dan emosi yang akan sentiasa diingati apabila dua bintang besar dari Indonesia, Afgan dan Lyodra bergabung untuk memberikan persembahan yang menggetarkan jiwa.

Dengan tema yang disulami kasih sayang dan penghayatan mendalam, Konsert Ada Afgan & Lyodra: Live in Kuala Lumpur menjadi saksi kepada betapa muzik mampu menyentuh hati ramai peminat dari seluruh negara.

Afgan dan Lyodra membawa aura tersendiri yang melangkaui sempadan. Peminat yang hadir bukan saja berpeluang menyaksikan persembahan bertenaga daripada dua penyanyi ini, malah merasai setiap emosi yang tersirat di sebalik setiap lagu yang dilantunkan.

Saat lampu pentas mula dinyalakan memberi tanda bahawa persembahan yang dinantikan sudah hampir tiba, kedengaran sorakan ribuan peminat dari segenap ruang.

Konsert dimulakan dengan persembahan duet lagu Kamu Yang Ku Tunggu yang pernah dipopularkan Afgan bersama Datuk Rossa. Namun, duet gandingan bersama Lyodra ini juga tidak mengecewakan.

Afgan terus memukau dengan rangkaian lagu cintanya yang malar hijau seperti Panah Asmara dan Bawalah Cintaku di samping lagu ‘berhantu’ yang memperkenalkan namanya, Terima Kasih Cinta.

Setiap kali dia menyanyikan bait-bait lagu, terasa seperti dia berbicara secara langsung dengan setiap penonton dalam dewan.

Emosi yang disampaikan bukan hanya melalui suaranya, tetapi juga melalui ekspresi wajah dan gerak tubuhnya yang menyiratkan keikhlasan dalam setiap persembahan.

Tidak ketinggalan, Afgan juga mempersembahkan beberapa lagu terbaharunya berbahasa Inggeris menunjukkan betapa ‘versatile’ dia sebagai penyanyi yang mampu merangkul pelbagai genre.

Baginya, Malaysia sentiasa menjadi tempat yang istimewa kerana peminat di sini begitu setia menyokong karier muziknya dari awal sehingga kini. Kata-katanya itu jelas menyentuh hati ramai yang hadir dan tepukan gemuruh yang diberi adalah tanda cinta balas mereka kepada artis kesayangan ini.

“Malaysia umpama rumah kedua saya dan kali ini, saya kembali lagi ke sini bagi menjayakan konsert ini,” katanya.

Pentas seterusnya diambil alih oleh Lyodra yang tampil dengan penuh pesona dan elegan. Sebagai pemenang program realiti Indonesian Idol, Lyodra membawa kekuatan vokalnya yang mampu membuatkan siapa saja terdiam mendengarnya.

Persembahannya solonya dimulakan dengan lagu Kalau Bosan yang menyuntik semangat baharu kepada penonton. Suaranya yang lantang, penuh tenaga dan mampu menjangkau nota-nota tinggi yang sukar, benar-benar menunjukkan kemampuannya sebagai penyanyi berbakat besar.

Seterusnya, Lyodra meneruskan dengan Tak Dianggap, sebuah lagu yang dipenuhi mesej mengenai kekuatan diri dan keberanian untuk terus melangkah walaupun sering diabaikan.

Sang Dewi menjadi antara kemuncak persembahan solo Lyodra. Dengan pancaran lampu pentas yang memancarkan aura mistikal, suara Lyodra bergema di seluruh dewan, memukau setiap jiwa yang mendengar.

Vokalnya yang luar biasa menjadikan setiap persembahan seakan-akan sebuah kisah magis yang penuh misteri dan keindahan. Setiap nota tinggi yang dilantunkan membuatkan penonton terpaku, kagum dengan bakat dan keupayaan luar biasa penyanyi muda ini.

Namun, malam itu tidak hanya milik Afgan dan Lyodra secara solo. Kedua-dua penyanyi ini kemudian bersatu kembali atas pentas mempersembahkan beberapa lagu duet yang berjaya menyatukan vokal mereka dengan begitu sempurna.

Salah satu detik yang paling ditunggu-tunggu peminat adalah apabila mereka membawakan ‘mashup’ Jodoh Pasti Bertemu dan Pesan Terakhir. Harmoni antara suara Afgan yang lembut dan Lyodra yang lantang mencipta satu kombinasi yang begitu indah, membuatkan setiap penonton tenggelam dalam lantunan suara mereka.

Tidak berhenti di situ, lagu seperti Percayalah dan Jika turut mencuri tumpuan penonton.

Konsert ini bukan saja memberikan hiburan, tetapi juga meninggalkan kenangan begitu indah. Afgan dan Lyodra berjaya membuktikan bahawa mereka bukan sekadar penyanyi, tetapi penghibur sejati yang mampu menyentuh hati dengan bakat dan keikhlasan mereka.

Visual memukau, audio mantap dan keintiman yang terjalin antara artis dan penonton menjadikan konsert ini sebagai satu malam yang tidak akan dilupakan.

Bagi mereka yang hadir, Konsert Ada Afgan & Lyodra pastinya akan terpahat sebagai salah satu malam paling indah dalam hidup mereka. Sebuah malam di mana muzik tidak hanya didengar, tetapi dirasai dalam setiap denyutan hati.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top