Seorang wanita kantoi hanya mereka-reka cerita kononnya dipaksa menjadi pelacur untuk membayar hutang ah long bapa.
Difahamkan, wanita terbabit membuat luahan di program wawancara langsung di TikTok yang dikendalikan beberapa hos.

Mangsa yang dikenali sebagai Isha mendakwa bapanya sudah bercerai dengan ibu dan berhutang RM20,000 dengan ah long.
Bapanya dikatakan gagal membayar hutang menyebabkan dia terpaksa bekerja di ‘rumah merah’ di Pulau Pinang sebagai perempuan simpanan tanpa diberi gaji.
Susulan itu, pihak polis telah membuka kertas siasatan dan mendapati dakwaan tidak benar dan tidak pernah berlaku.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, wanita berkenaan mereka-reka cerita sekadar untuk meluahkan perasaan. Wanita itu dikesan berada dalam keadaan selamat di sebuah rumah di Seberang Perai Utara.
Dia turut mengakui membuat pinjaman wang dengan beberapa syarikat pemberi pinjaman wang dan menerima ugutan kerana gagal membayar hutang. Ibu mangsa yang berada di kampung juga turut menerima ugutan.
Hasil siasatan juga mendapati wanita berkenaan menghubungi program di TikTok itu pada 26 Julai lalu. Hos yang mengendalikan wawancara itu turut membuat satu laporan polis berkaitan panggilan terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.




