georgie@hmetro.com.my
Teguh memperjuangkan muzik thrash metal, Cromok bersyukur permintaan dan sambutan mengadakan konsert masih ada. Malah, kebelakangan ini mereka makin kerap mengadakan konsert.
Dengan dua anggota asal iaitu Karl (gitar) dan Sam (penyanyi, bass) selepas pemain dram, Miji meninggal dunia Mac lalu, Cromok yakin mereka masih ada pasaran dan pengikut tersendiri.
Justeru, semangat menghibur mereka terus menyala.
Menurut Karl, pada akhirnya ia bergantung kepada pulangan yang diraih penganjur apabila tampilkan mereka di sesebuah konsert. Faktor itu bagi mereka penting untuk diambil kira.
“Keyakinan kami mengadakan konsert kerana ada permintaan. Konsert juga adalah satu industri. Jika ada keuntungan dan balik modal tentu penganjur akan undang lagi.
“Tapi, kalau tak ada sambutan, peminat takkan dapat lihat kami beraksi lagi,” katanya pada sidang media pengumuman konsert The Real Cromok.
Yang pasti, Cromok juga teruja dengan konsert akan datang mereka yang berlangsung di Zepp KL tanggal 7 Disember depan itu.
Konsert terbabit akan menampilkan kelainan dengan berkongsi pentas bersama dua pemain gitar legenda, Hillary Ang dan Man Kidal.
Karl menjelaskan, gabungan itu sudah lama mereka impikan dan idea pun datang daripada permintaan peminat mereka.
Baginya, cadangan begitu yang mereka sentiasa alu-alukan.
Apatah lagi, kedua-dua figura itu pernah diundang bermain gitar dalam album mereka. Jadi, mereka tidak asing lagi dalam perjalanan karier muzik mereka selama ini.
Cromok juga sentiasa ingin memastikan peminat merasa berbaloi dengan wang dilaburkan untuk menyaksikan konsert mereka dan perlu mencari kelainan setiap kali beraksi di pentas.
“Ramai peminat yang minta kami undang Hillary dan Man pada konsert kami kerana jujurnya saya sendiri tidak pernah membuat persembahan ‘live’ dengan mereka.
“Jadi, kami penuhi permintaan peminat, malah Cromok sendiri tak sabar melihat kerjasama secara langsung itu.
“Bagi peminat yang nak tahu adakah yang bakal kami persembahkan nanti sama seperti dalam album, kena datang saksikan sendiri konsert itu,” katanya.
Selain itu, banyak hal istimewa yang mengisi perjalanan konsert terbabit. Antaranya mereka mahu jadikan konsert The Real Cromok ‘tribute’ buat Miji serta seorang lagi bekas pengasas kumpulan itu Din yang meninggal dunia pada 1997.
Acara itu bukan sekadar persembahan semata-mata, namun bakal menyorot sejarah perjalanan kumpulan yang ditubuhkan ketika mereka menyambung pengajian di University of Wollongong, Australia.
“Kami akan kongsikan mengenai perjalanan dan siapa Cromok, siapa pemuzik asal dan sebagainya. Kiranya konsert kali ini seperti sebuah penceritaan, di mana kami juga akan mainkan beberapa video mengimbau perjalanan kumpulan ini,” katanya.
Cromok bakal mempersembahkan sekitar 18 lagu hit mereka yang membawa kejayaan kepada kumpulan itu serta menampilkan beberapa lagu baharu buat kali pertama.
Satu daripadanya adalah lagu yang paling dinantikan iaitu lagu penghargaan khas kepada Allahyarham Din dan Miji. Segmen itu pastinya bakal menggamit emosi dan kenangan dalam kalangan semua yang hadir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




