am@hmetro.com.my
Jitra: Isteri Sabari Baharom, Shubiah Roslina Shahibi, 57, reda dengan ketentuan Allah SWT bahawa suaminya sudah tiada selepas operasi pencarian pada hari ketiga, semalam, menemui jalan buntu.
Namun katanya, dia dan keluarga berpuas hati dengan usaha pasukan penyelamat melakukan pencarian di sekitar kawasan sungai, tempat suaminya dipercayai dicampak dalam kejadian itu.
“Saya berpuas hati la dengan usaha mereka (pasukan penyelamat) atas kemampuan mereka dalam operasi mencari suami saya.
“Pihak polis pun cakap, mereka tahu perkara ini dah lewat sebab kejadian berlaku pada 4 September lalu dan terus buat operasi ini selepas menahan dua suspek,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian di Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Wang Tepus, di sini, hari ini.
Shubiah Roslina berkata, keluarga dapat menerima bahawa Sabari sudah tiada.
“Jika jasadnya ditemukan, Alhamdulillah, tetapi jika tidak, tidak mengapa, itu semua ketentuan Allah.
“Saya mengucapkan terima kasih atas usaha pihak berkuasa dalam usaha mengesan jasad suami,” katanya.
Sabari, 62, seorang pesara pegawai kewangan Felcra dipercayai diikat dan dilekat pita pada mulutnya, sebelum mangsa dicampak ‘hidup-hidup’ ke Sungai Padang Terap di sini, hampir sebulan lalu.
Shubiah Roslina berkata, pihak berkuasa sudah menjelaskan bahawa kemungkinan jasad suaminya ditemukan, adalah sesuatu adalah tipis.
“Sebelum ini, banjir besar berlaku di kawasan itu selama kira-kira seminggu, diikuti banjir lain selama empat hari.
“Arus deras boleh menyebabkan pelbagai kemungkinan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




