Moga ada sinar untuk jalani pembedahan jantung

Moga ada sinar untuk jalani pembedahan jantung

sudirman@hmetro.com.my

Petaling Jaya: “Pembedahan adalah ikhtiar terakhir saya. Semoga ada sinar untuk saya,” kata Jamaluddin Mahmud, 74, penghidap penyakit jantung yang perlu menjalani pembedahan akibat masalah ‘tripple vessel disease’.

Jamaluddin berkata, dia sepatutnya menjalani pembedahan pada Ogos lalu membabitkan kos RM30,000 tetapi terpaksa ditunda pada Disember depan berikutan masalah kewangan.

Menurutnya, dia mengetahui mempunyai masalah jantung apabila dimaklumkan doktor di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas terjatuh di bilik air ketika mengambil wuduk kira-kira enam bulan lalu.

“Saya sudah tujuh kali dimasukkan ke hospital (PPUM) dan terbaharu hujung bulan lalu.

“Kini saya tinggal berdua dengan anak sulung yang juga orang kurang upaya (OKU) bisu selepas isteri meninggal dunia. Kalau ada apa-apa kecemasan memang saya kena buat sendiri. Kalau sakit dan jatuh, saya tawakal saja.

“Apabila dimaklumkan perlu menjalani pembedahan segera menyebabkan saya buntu kerana tiada wang sekali gus pembedahan ditunda hingga dapat menyediakan kos diperlukan,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Menurutnya, kehidupannya kini hanya bergantung pada sumbangan daripada Pusat Zakat Selangor (PZS) sebanyak RM400 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM250.

Katanya, manakala anak sulungnya juga penerima bantuan daripada JKM sebanyak RM300.

“Alhamdulillah, bantuan yang diterima sedikit sebanyak dapat meringankan beban. Walaupun ada dua anak lagi, tapi mereka juga mempunyai keluarga dan komitmen lain. Saya juga faham keadaan mereka.

“Apa pun, dengan keadaan sekarang saya reda. Buat masa ini saya hanya makan ubat yang diberi. Nak buat sebarang kerja pun sudah tak boleh. Kadang kalau duduk terlalu lama pun, saya akan pitam,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank 114169466605 atas nama Jamaluddin Mahmud.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top