am@hmetro.com.my
Shah Alam: Syarikat automotif industri pertahanan tempatan, Mildef International Technologies Sdn Bhd (MILDEF), terus menunjukkan komitmen bagi meluaskan pengaruhnya di peringkat global dengan penyertaan aktif dalam pameran pertahanan antarabangsa.
Langkah ini merupakan usaha penting dalam memperkenalkan teknologi pertahanan tempatan kepada dunia.
MILDEF dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya baru-baru ini terbabit dalam pameran Asian Defense & Security (ADAS) yang berlangsung di World Trade Center – Metro Manila, Filipina.
Menurutnya, pameran yang berakhir minggu lalu itu memberi peluang kepada syarikat untuk mempamerkan produk dan keupayaannya kepada para delegasi antarabangsa.
“Ini merupakan pencapaian yang membanggakan bagi kami untuk terus menonjol sebagai syarikat pertahanan automotif tempatan meskipun bukan gergasi industri.
“Kehadiran kami dalam pameran itu membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa serta membuktikan kepada pemain lain negara ini turut mempunyai produk berkualiti yang mampu bersaing dalam industri automotif pertahanan global,” katanya, di sini, hari ini.
MILDEF berkata, sepanjang tahun ini pihaknyamenyertai beberapa pameran lain seperti Eurosatory 2024 di Paris, Perancis, serta DSA & NATSEC Asia di Kuala Lumpur.
Syarikat itu juga memaklumkan akan meneruskan momentum dengan penyertaan dalam pameran lain seperti Indo Defence 2024 di Jakarta dan Vietnam International Defence Expo 2024 tidak lama lagi.
Dalam perkembangan sama, MILDEF turut memperkenalkan High Mobility Light Tactical Vehicle (HMLTV) iaitu sebuah kenderaan taktikal ringan yang lebih kecil daripada HMAV Tarantula tetapi lebih versatil.
“Kenderaan ini boleh diubah suai mengikut keperluan, sama ada sebagai kenderaan perisai ringan, rondaan, atau pengiring.
“Keupayaan serba guna HMLTV telah menarik perhatian delegasi, yang terdiri daripada wakil-wakil tentera, pasukan keselamatan, dan agensi kerajaan dari seluruh dunia,” katanya.
MILDEF berkata, dengan penyertaannya di peringkat antarabangsa bukan sahaja membuka peluang untuk memperluaskan rangkaian kerjasama dengan negara lain, malah meningkatkan kepercayaan terhadap kualiti produk pertahanan tempatan keluaran Malaysia.
“Dengan penyertaan aktif dalam acara seperti ini, MILDEF berjaya menonjolkan kemampuan teknologi pertahanan tempatan, sekali gus memperkukuh kedudukan mereka sebagai peneraju dalam industri ini.
“Malah MILDEF juga dapat mengenal pasti peluang baharu untuk mengembangkan pasarannya di peringkat global,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




