Seorang lelaki berusia 38 tahun yang dipercayai membunuh pesara Felcra, Sabari Baharom, 62, didakwa membelanjakan RM16,000 untuk berjudi di Batam, Indonesia, sebelum ditahan polis.
Menurut sumber, suspek bersama anak saudaranya ke Batam selepas membunuh Sabari dan mengeluarkan wang simpanannya. Suspek didapati ketagih judi dan sering keluar negara untuk berjudi.
Suspek dipercayai membunuh Sabari pada 4 September lalu, sebelum ke Batam untuk berjudi. Dia juga bermain judi dalam talian.- Kata sumber itu.
Polis menahan suspek dan anak saudaranya di kawasan sempadan selatan tanah air pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, berkata operasi mencari mayat Sabari dihentikan setelah tiga hari tanpa petunjuk.
Sabari hilang sejak 4 September, dan keretanya ditemui dibakar di Hutan Gubir, Sik, namun tiada tanda kehadiran mangsa di lokasi kejadian.
Ahli keluarga mangsa mengesyaki Sabari dilarikan selepas beberapa transaksi wang dari akaun Tabung Haji milik Sabari dikesan dalam dua hari selepas kehilangannya.




