EC umum bantuan kemanusian tambahan RM139 juta untuk Lubnan

EC umum bantuan kemanusian tambahan RM139 juta untuk Lubnan

London: Suruhanjaya Eropah (EC) pada Khamis mengumumkan bantuan kemanusiaan tambahan bernilai €30 juta (RM139 juta) untuk Lubnan, menjadikan jumlah keseluruhan melebihi €100 juta (RM465 juta) bagi tahun 2024, lapor Agensi Anadolu.

Bantuan ini akan disalurkan kepada mereka yang paling memerlukan di Lubnan, selain daripada €10 juta (RM46 juta) yang diumumkan pada 29 September, menurut kenyataan EC.

Kenyataan itu menyebut pakej terbaharu ini yang akan menyediakan bantuan makanan segera, tempat tinggal, dan penjagaan kesihatan serta sokongan asas lain, telah menjadikan jumlah keseluruhan melebihi €104 juta (RM483 juta).

Presiden EC Ursula von der Leyen menyuarakan kebimbangan terhadap “peningkatan ketegangan berterusan” di Timur Tengah, dan menggesa semua pihak untuk melakukan segala usaha bagi melindungi nyawa orang awam yang tidak bersalah.

“Hari ini, kami meningkatkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Lubnan. Dana baharu kami akan memastikan orang awam menerima bantuan yang sangat diperlukan dalam tempoh yang amat sukar ini,” katanya.

“Kami terus menyeru gencatan senjata merentas sempadan dengan Lubnan dan di Gaza, serta pembebasan semua tahanan,” kata von der Leyen.

Pada Rabu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, memberi amaran bahawa hospital di Lubnan “dikelilingi” dengan kemasukan pesakit yang cedera susulan konflik berterusan antara Israel dan Hizbullah.

Ketegangan serantau telah meningkat disebabkan serangan ganas Israel ke atas Gaza, yang telah mengorbankan hampir 41,700 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak sejak Oktober lalu.

Konflik berkenaan merebak ke Lubnan dengan Israel melancarkan serangan maut di seluruh negara itu, yang telah mengorbankan 1,928 orang dan mencederakan hampir 9,300 yang lain sejak 23 September.

Masyarakat antarabangsa telah memberi amaran bahawa serangan Israel di Lubnan boleh mencetuskan konflik Gaza menjadi perang serantau yang lebih besar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top