Liverpool: Mohamed Salah terus mencipta sensasi apabila mencipta rekod baharu Liga Juara-Juara Eropah apabila dia menjaringkan gol dalam kemenangan 2-0 Liverpool ke atas Bologna di Anfield.
Selepas Alexis Mac Allister membuka jaringan di babak pertama, Salah melebarkan kedudukan dengan gol menarik pada minit ke-75.
Salah sudah mencipta banyak rekod sepanjang kariernya di Liverpool, dan kini meletakkan dirinya antara legenda hebat sepanjang zaman di kelab itu.
Dia kini mengumpul gol terbanyak untuk kelab Inggeris di saingan Liga Juara-Juara dengan 42 gol, mengatasi mana-mana penjaring hebat di Liga Perdana Inggeris.
Selain itu, dia juga memegang rekod hatrik terpantas oleh pemain gantian di pentas Liga Juara-Juara dengan meledak tiga kali dalam tempoh enam minit 12 saat ketika menentang Rangers pada tahun 2022.
Selepas jaringannya ke atas Bologna, Salah kini penjaring terbanyak dari Afrika dalam sejarah Liga Juara-Juara.
Salah mengatasi legenda Chelsea, Didier Drogba yang meledak 44 gol di Liga Juara-Juara, dengan kelebihan satu gol.
Bekas penyerang Barcelona, Inter Milan dan Cameroon, Samuel Eto’o di tempat ketiga dengan 30 gol.
Salah turut memecahkan beberapa lagi rekod, termasuk pemain Liverpool pertama menjaringkan gol dalam lima aksi Liga Juara-Juara berturut-turut di Anfield dan menjadi pemain pertama meledak serta membantu gol dalam sembilan aksi di kejohanan tertinggi Eropah itu untuk kelab Inggeris.
Hampir kesemua jaringan Salah di Liga Juara-Juara adalah ketika bersama Liverpool, tetapi dia turut meledak dua gol untuk Basel pada tahun 2013.
Liverpool menang kedua-dua perlawanan mereka setakat ini, selepas menewaskan AC Milan pada aksi pembukaan.
Perlawanan seterusnya untuk skuad Arne Slot dalam saingan Liga Juara-Juara ialah menentang RB Leipzig di Jerman akhir bulan ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




