Mauritius peroleh kembali kedaulatan ke atas Kepulauan Chagos

Mauritius peroleh kembali kedaulatan ke atas Kepulauan Chagos

Port Louis: Mauritius akan memperoleh kembali kedaulatan ke atas Kepulauan Chagos, kumpulan pulau terpencil tetapi strategik di Lautan Hindi, selepas lebih setengah abad, umum Pejabat Perdana Menteri Mauritius pada Khamis, lapor Xinhua.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kerajaan Mauritius dan Britain, kedua-dua pihak mengesahkan bahawa mereka telah mencapai perjanjian politik “bersejarah” mengenai pelaksanaan kedaulatan ke atas Kepulauan Chagos.

“Perjanjian politik hari ini tertakluk kepada pemuktamadan perjanjian dan instrumen undang-undang sokongan, yang mana kedua-dua pihak komited untuk melengkapkannya secepat mungkin. Di bawah terma perjanjian ini, United Kingdom akan bersetuju bahawa Mauritius mempunyai kedaulatan ke atas Kepulauan Chagos, termasuk Diego Garcia,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua negara “komited untuk memastikan operasi pangkalan sedia ada di Diego Garcia secara jangka panjang, selamat dan berkesan, yang memainkan peranan penting dalam keselamatan serantau dan global.”

Selepas dua tahun berunding, ini adalah “detik penting dalam hubungan kami dan demonstrasi komitmen berterusan kami terhadap penyelesaian aman pertikaian dan kedaulatan undang-undang,” kata kenyataan itu.

Kepulauan Chagos dipisahkan dari Mauritius pada tahun 1965 ketika negara itu masih menjadi tanah jajahan British. Britain telah mengekalkan pendudukannya sejak itu, manakala Mauritius yang merdeka pada 1968 terus menuntut kedaulatannya.

Pada Februari 2019, Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang juga merupakan badan kehakiman utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, memihak kepada Mauritius apabila ia merumuskan dalam satu pendapat nasihat bahawa Kerajaan British mempunyai “kewajipan untuk menamatkan pentadbiran ke atas Kepulauan Chagos secepat mungkin.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top