Murid reka cerita diculik kerana takut dimarahi bapa

Murid reka cerita diculik kerana takut dimarahi bapa

am@hmetro.com.my

Kuala Pilah: Murid darjah lima mengada-adakan cerita kononnya dia cuba diculik lelaki, petang semalam kerana bimbang dimarahi selepas pulang sendirian tanpa pengetahuan bapa.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Gani berkata, kejadian itu tular di media sosial mendakwa seorang murid cuba diculik di hadapan sebuah sekolah rendah di Kampung Telok, di sini.

“Keluarga murid berusia 11 tahun itu membuat laporan polis mengenai kejadian yang dikatakan berlaku kira-kira 4.30 petang semalam.

“Ketika siasatan dilakukan, ‘mangsa’ mendakwa dia pada mulanya dihampiri lelaki tidak dikenali memakai pakaian serba hitam dengan memandu kenderaan pelbagai guna (MPV).

“Kanak-kanak itu juga mendakwa dipegang individu berkenaan sebelum berjaya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Amran berkata, siasatan lanjut yang dijalankan pihaknya kemudian mendapati kejadian itu tidak berlaku.

“Mangsa hanya mereka cerita mengenai kejadian itu kerana bimbang dimarahi bapanya disebabkan pulang berjalan kaki seorang diri ke pekan Kuala Pilah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya orang ramai khususnya di Kuala Pilah supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian hingga mencetuskan panik orang ramai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top