16 terbunuh akibat serangan udara Israel di kem pelarian Tulkarm

16 terbunuh akibat serangan udara Israel di kem pelarian Tulkarm
Orang ramai berkumpul di hospital berdekatan di mana individu yang terbunuh dan cedera dibawa. (FOTO: Reuters)
– Advertisement –

TEBING BARAT: Pihak Berkuasa Palestin pada Khamis memaklumkan sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dalam serangan udara zionis Israel ke atas kem pelarian Tulkarm, wilayah yang kini diduduki oleh Israel.

– Advertisement –

Serangan udara itu telah menyasarkan sebuah kafe di kem pelarian Tulkarm, di mana ramai orang awam berada di situ ketika serangan dilancarkan, lapor agensi berita Wafa.

Kawasan itu dilaporkan dipenuhi dengan timbunan besar serpihan bangunan dan kebakaran yang turut berlaku, dengan anggota penyelamat dilihat bergegas menyelamatkan mangsa yang cedera untuk menerima rawatan perubatan.

Tentera Udara Israel berkata pihaknya  telah melakukan serangan di Tulkarm dalam operasi bersama dengan perkhidmatan keselamatan Shin Bet, dan telah membunuh Ketua Hamas di Tulkarm iaitu  Zahi Yaser Abd al-Razeq Oufi.

Sementara itu, seorang penduduk dari kawasan itu memberitahu agensi berita AFP bahawa serangan yang dilancarkan zionis Israel itu telah mengenai sebuah kafeteria di bangunan tiga tingkat.

“Terdapat ramai mangsa di hospital,” tambah penduduk itu sambil berkata angka kematian mungkin akan meningkat.

Tulkarm adalah salah satu bandar dan kem pelarian Palestin yang menjadi sasaran semasa operasi ketenteraan besar Israel pada Ogos.

Ketua Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk bulan lalu berkata operasi besar Israel di Tebing Barat yang didudukinya berlaku pada skala yang tidak pernah disaksikan dalam dua dekad yang lalu.

Keganasan telah melonjak di Tebing Barat sejak permulaan konflik di Gaza tahun lalu, dengan hampir setiap hari kematian dilakukan oleh tentera Israel yang turut melibatkan beribu-ribu penangkapan dan pertempuran senjata tetap antara pasukan keselamatan dan pejuang Palestin. -Agensi / -HARAKAHDAILY 4/10/2024

– Advertisement –

Scroll to Top