am@hmetro.com.my
Semporna: Pengusaha pelancongan di sini, membuat laporan polis susulan bimbang dengan kebanjiran pelancong asing yang didakwa menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja secara haram.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, semalam.
Difahamkan, pelancong asing terutama dari China dikatakan menggunakan pas lawatan sosial untuk memasuki negara ini dengan niat bekerja dalam pelbagai sektor, terutamanya dalam bidang perkhidmatan dan pembinaan.
Seorang pengusaha pelancongan yang enggan dikenali mendakwa, pada awalnya mereka masuk ke sebagai pelancong biasa, tinggal di hotel atau penginapan sementara sebelum berpindah ke tempat kerja yang disediakan pihak tertentu.
Menurutnya, aktiviti tidak berlesen itu menjejaskan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan selain dikhuatiri menimbulkan masalah keselamatan yang boleh mencemarkan imej daerah ini sebagai destinasi pelancongan popular di dunia.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Sabri Zainol mengesahkan menerima lima laporan polis daripada pengusaha pelancongan terbabit.
“Berdasarkan laporan itu, mereka menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pelancong warganegara China yang bekerja tanpa permit atau pas kerja yang sah.
“Mereka juga bimbang golongan ini dikhuatiri menimbulkan kesan negatif dalam sektor pelancong dan perniagaan di daerah ini,” katanya dalam kenyataan di sini, malam kelmarin.
Mohd Sabri berkata, pihaknya akan mengambil tindakan termasuk melaporkan kes itu kepada pihak Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac) dan pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
Pada 25 Ogos lalu, media melaporkan seramai 61 warga asing dari China dan Filipina ditahan dalam satu serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia selepas dikesan bekerja secara haram di pusat peranginan dan pulau sekitar Semporna dengan rata-rata daripada mereka hanya memiliki visa pelancong dan pas lawatan sosial.
Serbuan dilakukan susulan aduan orang awam mengenai warga asing yang tidak memiliki pas atau permit sah untuk bekerja di tapak pembinaan di pusat peranginan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd