am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: “Wang gaji hasil bekerja di sebuah kedai kek selama dua bulan saya manfaatkan untuk pembayaran yuran dan menyewa inap desa ketika datang mendaftar sebagai pelajar baharu,” kata Nurizzati Abu Zahar, 20.
Nurizzati yang berasal dari Kampung Sahom, Kampar, Perak berkata, dia pada mulanya mengambil keputusan untuk menangguhkan pengajian kerana masalah kewangan keluarga.
Bagaimanapun, katanya, desakan hidup mendorongnya bekerja sambilan di sebuah kedai kek selama dua bulan selepas tamat pengajian di peringkat matrikulasi.
Menurutnya, bapanya, Abu Zahar Ariffin meninggal dunia dua tahun lalu manakala ibunya, Hotmina, 49, tidak bekerja dan kehidupan hariannya ditanggung oleh abang, Muhammad Aidil Putra, 21, yang bekerja di sebuah pasar raya.
“Dengan wang gaji itu, saya bayar yuran dan sewa inap desa, manakala seorang saudara meminjamkan keretanya kepada abang untuk menghantar saya ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
“Alhamdulillah, saya dapat melanjutkan pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Sains Marin, walaupun pada awalnya hajat melanjutkan pengajian dilihat samar,” kata anak kedua daripada lima beradik.
Nurizzati antara enam penerima Yayasan Perkasa Siswa (YPS) yang disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sempena Program In Person With Doc Zam di sini, malam tadi.
Turut hadir, Naib Canselor UMT, Prof Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim dan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Datuk Dr Fadzli Adam.
Seorang lagi penerima, Annie Mcwienna Virgilio Andrew, 20, dari Kampung Simpang Entilibon, Telupid, Sabah berkata, dia juga pada mulanya membatalkan hasrat untuk mendaftar masuk ke UMT kerana faktor kewangan.
“Ayah, Andrew Doliente, 40, seorang petani manakala ibu, Willimenna Ak Baki, 43, suri rumah dan saya mempunyai enam lagi adik dengan yang paling bongsu berusia enam bulan.
“Melihat kepada masalah kewangan keluarga, saya membatalkan hajat untuk melanjutkan pengajian, namun atas nasihat dan bantuan Hal Ehwal Pelajar UMT, saya dapat melanjutkan pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Pengurusan Pengajian Polisi,” katanya.
Bagi Nurul Ain Nasuha Mat Lazim, 21, graduan Jurusan Sarjana Muda Agronomi, UniSZA berkata, dia berterima kasih kepada YPS dan universiti kerana menyalurkan bantuan kepadanya untuk melanjutkan pengajian.
“Saya anak bongsu daripada lapan beradik, ayah sudah meninggal dunia akibat angin ahmar sejak 11 tahun lalu manakala ibu, Jehlaha Mohd, 63, seorang guru al-Quran di kampung.
“Abang dan kakak masing-masing hidup sederhana dan sudah mempunyai keluarga, saya bersyukur dengan bantuan yang diterima kerana ia dapat meringankan beban saya ketika di universiti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




