Budaya ‘ragging’ dan buli pada minggu orientasi universiti perlu dihentikan sepenuhnya. Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Iman Azhar, menegaskan bahawa orientasi seharusnya membantu pelajar baharu menyesuaikan diri dengan suasana kampus, bukannya tunduk kepada amalan lama yang tidak relevan.
Kita kena melihat pada landskap perubahan semasa untuk minggu orientasi yang sepatutnya menyediakan pelajar dengan lebih baik dan tertib dalam aspek kesediaan mereka bagi menghadapi alam universiti.- Kata Muhammad Iman.
Beliau menambah bahawa amalan tunduk atau patuh melulu kepada senior atau fasilitator adalah sesuatu yang perlu dihentikan.
Fokus orientasi sepatutnya kepada aktiviti yang membina semangat setia kawan, cinta kepada universiti, dan toleransi.
Nilai tambah perlu dalam minggu orientasi…
Muhammad Iman juga mengingatkan bahawa meneruskan budaya lama ini tidak memberi manfaat kepada pelajar.
Kalau diteruskan budaya yang tidak memberi nilai tambah kepada mereka, minggu orientasi akan menjadi pembaziran yang nyata.- Jelasnya.
Beliau mencadangkan modul orientasi ditambah baik dengan elemen seperti pendidikan, kenegaraan dan kesihatan mental, tetapi tanpa mengabaikan nilai adab dan budaya.
Sebelum ini, tular video minggu orientasi di sebuah universiti awam yang menunjukkan fasilitator menjerit-jerit kepada pelajar baharu, yang mengundang kritikan ramai.




