Pastikan projek lancar, kontraktor Lebuhraya Pan Borneo Sabah diberi amaran

Pastikan projek lancar, kontraktor Lebuhraya Pan Borneo Sabah diberi amaran

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Kontraktor Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang baru menerima surat lantikan untuk memulakan kerja bagi Fasa 1B diberi amaran awal supaya memastikan projek berjalan lancar.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata beliau mahu memastikan semua 19 pakej kerja dalam fasa berkenaan tidak berlaku kelewatan.

Katanya, kementeriannya bertegas tidak mahu kelewatan yang berlaku terhadap projek Fasa 1A sebelum ini berulang dalam projek Fasa 1B.

“Kita memberi amaran kepada semua kontraktor, kita mesti elak masalah atau isu yang mengekang perjalanan projek ini. Kita belajar daripada apa yang menyebabkan kelewatan sebelum ini.

“Kita mohon kepada semua pihak, lebih-lebih lagi agensi kerajaan yang terbabit supaya kerap bermesyuarat dan memastikan koordinasi semua pihak supaya kontraktor melaksanakan kerja dengan baik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi Pakej Kerja Fasa 1B kepada 13 kontraktor, di sini, malam ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Pakej kerja itu merangkumi Jajaran Barat Laut, iaitu Pakej Kerja (WP) 11 hingga 14 yang bermula dari Kota Belud ke Kudat; Jajaran Tenggara, WP 16 hingga 20 (Tawau ke Lahad Datu); Jajaran Timur Laut, WP 22 hingga 26 (Lahad Datu ke Sandakan) dan Jajaran Tengah, WP 31 hingga 35 (Telupid ke Ranau).

Alexander berkata, kerja pembinaan di semua jajaran terbabit boleh dimulakan pada bila-bila masa setelah syarikat kontraktor yang dilantik menerima Surat Setuju Terima masing-masing.

Beliau berkata, bagi Fasa 1A yang membabitkan sebanyak 16 pakej sebelum ini, kerja pembinaan kini mencapai 78 peratus selepas projek dimulakan pada 2016.

Katanya, berikutan pelbagai masalah yang menjejaskan pelaksanaan projek Fasa 1A sebelum ini, pihaknya menegaskan mahu projek bagi fasa itu siap keseluruhannya pada suku kedua 2026.

“Saya amat gembira kerana fasa seterusnya, iaitu Fasa 1B, sudah selesai proses perolehan dan kini sedia untuk dilaksanakan.

“Ingin saya ingatkan kepada semua pihak, keutamaan kerajaan adalah untuk melaksana dan menyiapkan kedua-dua Fasa 1A dan 1B mengikut perancangan dengan mutu spesifikasi, kos dan jadual yang telah diluluskan.

“Dengan siapnya Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 kelak, saya pasti rakyat di negeri ini akan dapat merasakan impak positif seperti peningkatan aksesibiliti dan mobiliti melalui jalan darat yang lebih selamat dan selesa.

“Rakyat juga akan merasakan infrastruktur berkualiti yang setara di bandar dan di luar bandar serta pengalaman perjalanan yang selesa dengan penjimatan masa perjalanan,” katanya.

Katanya, tempoh pembinaan bagi Pakej Kerja Fasa 1B adalah di antara 36 bulan hingga 48 bulan dengan kos pembangunan dibiayai sepenuhnya Kerajaan Persekutuan dengan peruntukan berjumlah RM13.989 bilion.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top