Kerajaan Kedah sudah bersiap sedia hadapi fasa peralihan monsun

Kerajaan Kedah sudah bersiap sedia hadapi fasa peralihan monsun

am@hmetro.com.my

Sik: Kerajaan negeri sudah bersiap sedia menghadapi fasa peralihan monsun termasuk melakukan persediaan menghadapi air pasang besar yang berisiko menyebabkan hakisan pantai.

Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria berkata, antara persediaan dilakukan ialah membina geobag (benteng guni pasir) sebagai alternatif bagi mengelak berlakunya hakisan pantai yang teruk.

Katanya, geobag akan bertindak sebagai tembok sementara bagi mengelak risiko hakisan dan menyebabkan rumah penduduk terjejas.

“Antara kawasan yang dikenal pasti ialah di Kampung Huma, Tanjung Pial di Tanjung Dawai, akibat hakisan sebelum ini, air masuk ke dalam rumah penduduk apabila air laut pasang.

“Kerajaan Persekutuan sudah bersetuju memberi peruntukan sebanyak RM17.5 juta untuk kawalan hakisan pantai berkenaan, tahun depan baru hendak dilakukan tender.

“Jadi kerajaan negeri akan buat dulu geobag minggu depan supaya air tidak masuk ke dalam rumah penduduk, kita akan buat sepanjang 500 meter dulu di kawasan kritikal dengan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM200,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Projek Pembangunan Sistem Air Bersih Kampung Bukit Batu, Belantek di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ikhlas, Profesor Dr Zainur Rashid Zainuddin.

Mohamad Yusoff@Munir berkata, kerja-kerja membersihkan kawasan sungai juga giat dijalankan ketika ini sebagai persediaan menghadapi fasa peralihan monsun barat daya ke monsun timur laut.

Katanya, Kedah menerusi jawatan kuasa bencana peringkat daerah dan negeri bersiap siaga dalam menghadapi fasa berkenaan apabila diramalkan berlaku hujan dan ribut petir terutama pada November depan.

Sementara itu, seramai 550 penduduk di tiga kampung di sini yang tidak pernah mendapat bekalan air bersih akhirnya mampu menarik nafas lega apabila sebuah telaga tiub dibina hasil kerjasama Yayasan Ikhlas dan Tabung Haji.

Zainur berkata, ia projek pembangunan sistem air bersih ketiga di daerah ini selepas Kampung Tanah Hitam dan Kampung Jelutong.

“Projek ini menelan belanja RM500,000 dan dibiayai Tabung Haji. Kita bina telaga tiub sedalam 64 meter bagi menyedut sumber air bawah tanah, menara tangki untuk menyimpan air yang ditapis serta sistem paip baharu untuk menyalurkan air bersih terus ke 150 rumah penduduk.

“Projek kali ini membabitkan kos yang paling besar berbanding dua projek sebelumnya dan diharap bekalan air bersih ini akan lancar serta memberi manfaat kepada semua penduduk di Kampung Bukit Batu, Kampung Bukit Berangan dan Kampung Kubang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top