am@hmetro.com.my
Langkawi: Langkawi Skywalk Sdn Bhd (Langkawi Skywalk) akan memastikan kebajikan mangsa serta keluarga juruteknik yang maut terjatuh di lereng Gunung Machinchang di sini, Khamis lalu, diberi perhatian sewajarnya.
Langkawi Skywalk adalah pemilik produk pelancongan Eagle’s Nest Skywalk (ENS) tempat mangsa, Allahyarham Khairul Nizam Jaafar, 41, bekerja.
Langkawi Skywalk dalam kenyataan berkata, Khairul Nizam bekerja sebagai juruteknik elektrik di syarikat itu.
“Untuk makluman, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sudah datang dan melakukan penyiasatan terhadap kejadian terbabit.
“Pihak kami memberikan kerjasama menyeluruh di dalam membantu penyiasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Langkawi Skywalk berkata, pihaknya tidak akan mengabaikan kebajikan mangsa dan keluarga serta bantuan akan diberikan mengikut saluran sedia ada.
“Pihak syarikat ingin menegaskan, tempat kemalangan bukanlah kawasan kunjungan awam.
“Kawasan lantai kaca tempat kunjungan awam kekal berada di dalam keadaan selamat dan tidak terjejas,” katanya.
Menurutnya, pihak syarikat juga mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di dalam semua keadaan.
“Bagi butiran hasil siasatan, pihak kami serahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya.
Media Khamis lalu melaporkan seorang juruteknik terjatuh sewaktu melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di Gunung Machinchang, di sini, sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mangsa, Khairul Nizam Jaafar dipercayai terjatuh dari besi penahan dek kaca pada ketinggian kira-kira 40 meter ke lereng gunung.
© New Straits Times Press (M) Bhd




