Lulus sejak 13 tahun lalu, hutan simpan sudah dimansuh untuk kuari

Lulus sejak 13 tahun lalu, hutan simpan sudah dimansuh untuk kuari

am@hmetro.com.my

Lumut: Kerajaan Negeri Perak mengesahkan aktiviti pengkuarian dalam kawasan Hutan Simpan Segari Melintang, di sini, bukanlah aktiviti baharu, malahan sudah diluluskan sejak 13 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim berkata, berdasarkan semakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG), sebanyak 18 syarikat pengkuarian diberikan kelulusan oleh Jabatan Perhutanan Perak (JPNPk) untuk beroperasi di lokasi terbabit bermula 2011 sehingga 2021.

“Bermula 2021 lalu, Majlis Tanah Negara membuat ketetapan supaya tiada lagi aktiviti perlombongan atau pengkuarian dibenarkan beroperasi di dalam kawasan Rizab Hutan Simpan yang sudah diwartakan.

“Bagi mematuhi ketetapan itu, PTG Perak dan JPNPk melakukan penyelarasan supaya kawasan seluas 545 hektar yang terbabit dalam aktiviti pengkuarian sedia ada, dikeluarkan daripada Hutan Simpan Segari Melintang.

“Penyahwartaan kawasan itu berkuatkuasa pada 11 Mei tahun lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar dilaporkan memohon kerajaan negeri mempertimbang semula keputusan penyahwartaan Hutan Simpan Segari Melintang.

Mengulas mengenai permintaan NGO itu, Teh berkata, kerajaan Perak mengambil maklum perkara itu sambil menegaskan, aktiviti pengkuarian yang sedang berjalan dan yang akan dilaksanakan tertakluk kepada pemakaian tenemen mineral serta undang-undang sedia ada.

“Antaranya adalah Pajakan Melombong mengikut kawalan Enakmen Mineral Perak (2003) dan akan diurus bersama dengan pemakaian Akta Pembangunan Mineral 1994, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

“Ini bagi memastikan segala pelaksanaan aktiviti pengkuarian dapat dijalankan secara bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri meluluskan beberapa cadangan penambahbaikan dengan memperkenalkan peraturan lebih ketat berkaitan pengurusan bahan mineral serta pengembangan sektor industri pertengahan dan industri hiliran.

“Mulai tahun ini, operasi di bawah tenemen mineral iaitu Pajakan Melombong yang baharu perlu mempunyai kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), Laporan Enviromental Management Plan (EMP) dan Kajian Penilaian Impak Sosial (SIA).

“Selain itu, syarikat pengkuarian mesti mempunyai kelulusan Laporan Erosion Sediment Control Plan (ESCP), Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) dan Kebenaran Merancang (KM) tertakluk kepada kesesuaian dan keadaan semasa serta polisi semasa yang berkuatkuasa,” katanya.

Tambah beliau lagi, kerajaan negeri akan menggantikan keluasan kawasan yang dinyahwarta itu dengan tanah kerajaan bagi dijadikan hutan simpan baru.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top