Johor Bahru: Bank Simpanan Nasional (BSN) melahirkan 6.2 juta pendeposit Sijil Simpanan Premium (SSP) dan 103 jutawan setakat ini, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin.
Beliau berkata, daripada 6.2 juta pendeposit dengan jumlah simpanan sebanyak RM5.4 bilion di seluruh negara, lebih 500,000 adalah pendeposit dari Johor.
“BSN berbangga melahirkan 103 jutawan BSN SSP, dengan 12 daripadanya berasal dari Johor,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Awang Adek berkata, kejayaan yang dicatatkan itu membuktikan komitmen BSN SSP dalam menyediakan peluang untuk rakyat mencapai impian kewangan mereka.
“Kami di BSN sentiasa berusaha untuk memperkasakan lebih ramai rakyat Malaysia dengan pelbagai produk kewangan yang inovatif dan berdaya saing di samping terus mendukung aspirasi keterangkuman kewangan negara.
“Saya percaya BSN SSP akan terus menjadi pilihan utama rakyat untuk menyimpan dan menjamin masa depan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, BSN akan terus memperluas akses perkhidmatan kewangan kepada semua lapisan masyarakat menerusi 387 cawangan dan 2,293 ejen bank seluruh negara, dengan 290 daripada ejen bank dan 48 cawangan berada di Johor.
BSN juga, katanya kekal sebagai pelopor pasaran pembiayaan mikro dengan 60 peratus pegangan pasaran.
“Setakat September lepas sebanyak 96,886 pelanggan aktif dalam kalangan usahawan mikro dengan jumlah pembiayaan aktif sebanyak RM1.9 bilion direkodkan.
“Daripada angka itu, sebanyak 10,254 usahawan mikro di Johor sudah menerima manfaat daripada skim pembiayaan,” katanya.
Kenyataan itu turut memaklumkan BSN meraikan pencapaian dalam usahanya mempromosikan keterangkuman kewangan dan menggalakkan pertumbuhan simpanan rakyat Malaysia dalam pencarian Jutawan BSN SSP yang ke-104 di Majlis Cabutan yang berlangsung di Angsana Mall, di sini, semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




