Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak terus meningkat pagi ini, manakala jumlah mangsa di Selangor menunjukkan penurunan sedikit, sementara Kedah kembali dilanda banjir.
Di PERAK, mangsa banjir meningkat kepada 231 orang daripada 77 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 136 orang daripada 43 keluarga yang direkodkan malam tadi.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), semua daerah di Perak diramalkan mengalami ribut petang ini.
Di SELANGOR, mangsa banjir di PPS setakat 8 pagi ini menunjukkan sedikit penurunan iaitu 909 orang daripada 213 keluarga, berbanding 975 orang daripada 232 keluarga, malam tadi.
Menurut portal InfoBencanaJKM, enam PPS masih beroperasi bagi menempatkan mangsa banjir dari tiga daerah iaitu Shah Alam, Gombak dan Kuala Selangor.
PPS itu ialah Dewan Majlis Perbandaran Selayang Seri Kundang, Balai Raya Kampung Melayu Sri Kundang, Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Aman, Dewan Kenanga Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, SK Ijok dan SK Bukit Badong.
Sementara itu, KEDAH kembali dilanda banjir dengan sebuah PPS dibuka di daerah Kubang Pasu awal pagi ini yang menempatkan 80 orang.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, kesemua mangsa daripada 26 keluarga itu ditempatkan di SMK Changlun yang dibuka pada 2.30 pagi.
Sementara itu, laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu serta Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar, melepasi paras bahaya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




