Jeffer mahu pemain kekal fokus buru pingat

Jeffer mahu pemain kekal fokus buru pingat

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad remaja negara Jeffer Rosobin yakin barisan pemain negara mempunyai potensi cerah untuk bergelar juara apabila meneruskan cabaran mereka dalam acara individu di Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2024 berlangsung di Nanchang, China, bermula esok.

Namun Jeffer berkata setiap pemain yang turun beraksi perlu kekal stabil dan fokus.

Justeru beliau mengharapkan pemain untuk tidak mensia-siakan peluang terhidang.

“Untuk saingan individu pemain perlu stabil dan kekal konsisten. Dari awal sampai akhir semua pemain perlu jaga momentum.

“Kerana kita ada peluang yang besar jadi saya harap mereka tidak leka dalam perlawanan dan buat yang terbaik untuk negara,” katanya.

Terdahulu skuad remaja kebangsaan meraih gangsa dalam acara berpasukan campuran selepas tewas kepada China 110-76 dalam aksi separuh akhir, semalam.

Keputusan dicatat Malaysia itu menyaksikan pasukan negara mengulangi pencapaian pada edisi lepas yang berlangsung di Washington, Amerika Syarikat selepas tunduk kepada lawan sama di separuh akhir.

Mengikut rekod kali terakhir Malaysia bergelar juara dalam acara perseorangan lelaki adalah menerusi Zulfadli Zulkiffli pada 2011. Manakala Goh Jin Wei muncul juara sebanyak dua kali dalam acara perseorangan wanita pada 2015 dan 2018.

Nelson Heg-Teo Ee Yi bergelar juara beregu lelaki pada 2011 manakala Lim Khim Wah-Ng Hui Lin muncul juara beregu campuran pada 2007.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top