PM mahu rakyat jauhi golongan pelampau kaum

PM mahu rakyat jauhi golongan pelampau kaum

am@hmetro.com.my

Sungai Siput: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rakyat berbilang kaum di negara ini menjauhi serta tidak terpengaruh dengan golongan disifatkan sebagai pelampau, khususnya apabila sesuatu tuntutan kepada kerajaan belum dipenuhi.

“Jangan terbawa-bawa dengan sentimen orang-orang yang melampau. Ada Melayu yang melampau sekarang, ada Cina yang melampau, dan ada India yang melampau, (jika) kita benarkan orang-orang ini naik, hancur negara kita.

“Sebab itu kita mesti ambil jalur tengah, berunding dengan baik. Ada perselisihan, bincang dengan baik dan gunakan ruang supaya berikan pandangan,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Heawood, Sungai Siput Utara, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad; dan Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Dalam pada itu, Anwar turut menegur pengamal media agar tidak memilih bulu dalam membuat liputan berhubung isu dalam sesuatu kaum, serta kurang mendedahkan usaha kerajaan dalam memenuhi tuntutan kaum.

Sebagai contoh katanya, isu kekurangan tempat pembakaran mayat atau krematorium masyarakat India, yang menimbulkan konflik sebelum ini namun dapat diatasi kerajaan hasil perbincangan dan penelitian cadangan dikemukakan.

Menurutnya, kerajaan juga meluluskan peruntukan RM20 juta bagi pembinaan sekurang-kurangnya enam krematorium di beberapa negeri.

“Bila saya lihat liputan media Tamil pada keesokannya, itu (kelulusan RM20 juta) tidak jadi besar, (sebaliknya) yang jadi besar ialah adanya sedikit sebanyak perbincangan dan ketegangan dalam mesyuarat. Jadi saya hendak nasihat media, bahawa kalau kita pilih begitu.. apa hendak jadi?” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top