Kes tikam: Jenazah dua beranak dikebumikan dalam satu liang

Kes tikam: Jenazah dua beranak dikebumikan dalam satu liang

am@hmetro.com.my

Seremban: Jenazah pesara guru yang maut ditikam dan jenazah anaknya dituntut ahli keluarga di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, kira-kira jam 5 petang hari ini.

Jenazah kedua-dua beranak itu kemudiannya dibawa menggunakan van jenazah ke Masjid Kariah Kampung Senaling, Kuala Pilah, untuk disolatkan.

Jenazah kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Senaling di dalam satu liang lahad, kira-kira jam 6.30 petang.

Terdahulu, jenazah warga emas berusia 65 tahun itu selesai dibedah siasat dan dimandikan kira-kira jam 1 tengah hari manakala jenazah anaknya selesai kira-kira 4 petang.

Beberapa ahli keluarga dan kenalan mangsa dilihat hadir ke jabatan berkenaan untuk membantu menguruskan jenazah dan memberi penghormatan terakhir.

Salah seorang ahli keluarga yang ditemui menolak dengan cara baik untuk ditemubual wartawan.

Media malam tadi melaporkan warga emas meninggal dunia selepas dipercayai ditikam anak kandungnya dalam kejadian di sebuah rumah dekat Kampung Senaling, Kuala Pilah, kira-kira jam 4.40 petang.

Difahamkan, sejurus kejadian, mangsa dikatakan meninggalkan lokasi kejadian menggunakan sebuah kereta sebelum ditemui terbaring di tepi jalan dekat Pekan Senaling, dan disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani dilapor berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dikatakan cuba memujuk anak lelakinya yang cuba membunuh diri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top