Sinner, pilihan utama lain terus mara

Sinner, pilihan utama lain terus mara

Shanghai: Pilihan utama, Jannik Sinner dan pilihan kelima, Daniil Medvedev bangkit daripada kekalahan di set pertama untuk maa ke pusingan keempat Kejohanan Tenis Masters Shanghai di China, semalam.

Manakala pilihan ketiga, Carlos Alcaraz menang straight set ke atas pemain kegemaran tuan rumah, Yibing Wu.

Sinner tewas set pertama menerusi tie-break kepada pemain Argentina, Tomas Etcheverry, tetapi bangkit untuk menang 6-7 (3), 6-4, 6-2.

Selepas perlawanan, pemain nombor satu dunia dari Itali itu mengakui dia berdepan masalah.

“Ia adalah perlawanan yang sukar sama ada secara fizikal atau mental, jadi saya sangat gembira kerana melepasi cabaran sengit ini,” kata Sinner.

“Saya rasa tewas pada set yang sangat sukar. Saya ada peluang untuk menang (set itu), tetapi perkara begini boleh berlaku.

“Ada masanya anda perlu menunggu peluang anda dan saya melakukannya apabila berusaha menenangkan mental dan ia adalah kunci utama kemenangan hari ini.”

Sinner kini sedang memburu gelaran ketujuh bagi 2024.

Manakala Medvedev pula yang masih mencari kejuaraan sulung bagi kempen 2024 dan pernah memenangi acara ATP Masters 1000 Shanghai itu pada 2019, mengatasi pemain Itali, Matteo Arnaldi 5-7, 6-4 dan 6-4.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top